Badan pengendali liga, Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan peraturan pertukaran lima pemain gantian dan dua kali tempoh ‘drinks breaks’ dalam 90 minit pada musim lalu tetap dilaksanakan Liga Malaysia musim 2021.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan yang turut memberitahu, langkah itu sebagai alternatif untuk membantu jurulatih-jurulatih kelab dalam persiapan pasukan di mana sepak mula Liga Malaysia 2021 bermula pada 5 Mac 2021.

Jelas Dato’ Ab Ghani, MFL sentiasa memahami kekangan tertentu kepada kelab-kelab selepas memiliki kira-kira 19 hari tempoh persiapan sebagaimana program latihan berpusat bermula hari ini (15 Februari 2021) melalui dua mekanisme iaitu Home dan Camp Quarantine.

Bagaimanapun, Dato’ Ab Ghani berharap kesemua kelab terutama jurulatih memahami situasi yang dihadapi oleh MFL dalam tempoh pandemik COVID-19 di mana keputusan itu dibuat adalah demi kepentingan kelangsungan Liga Malaysia.

“MFL telah menerima mendengar keluhan daripada jurulatih-jurulatih berkenaan persiapan Liga Malaysia yang akan berlangsung pada 5 Mac 2021.

“Namun MFL komited untuk menamatkan kempen liga dengan perlawanan penuh (22 perlawanan) di mana kami tidak mahu mengambil risiko yang akan memberikan kesan kepada penajaan itu sendiri selain langkah mengurangkan perlawanan atau membatalkan kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Challenge Cup jika kalendar Liga Malaysia bermula lebih lambat.

“Justeru, MFL ingin membuat makluman bahawa pindaan khas sementara peraturan permainan bagi musim 2020 akan dikekalkan pada tahun 2021.

“Menurut Artikel 6: Pindaan Khas Sementara Peraturan Permainan bagi pandemik COVID-19, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah membuat pindaan sementara bagi Peraturan Permainan FIFA IFAB telah meluluskan cadangan pindaan sementara bagi Undang-Undang 3 Pemain-Pemain simpanan.

“(Perkara 6.1.1) penganjur liga mempunyai pilihan sama ada menggunapakai peraturan sementara ini atau sebaliknya (di mana) pekeliling pindaan sementara Undang-Undang 3 membenarkan pertukaran 5 orang pemain dalam satu perlawanan.

“Selain daripada itu, setiap pasukan boleh mendaftarkan tujuh ke sembilan orang pemain di bangku simpanan selain MFL akan pratikkan drinks breaks sebanyak dua kali dalam perlawanan.

“Di sini, saya berharap kesemua kelab akan terus memberikan sokongan kepada liga tempatan dan saya juga berharap peraturan ini dapat dimanfaatkan oleh kesemua jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Pertukaran lima pemain gantian juga bertujuan untuk mengelakkan lebih ramai pemain mengalami kecederaan serius selepas berehat lama kerana penangguhan liga domestik susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Sarawak United Pilih Stadium Sekitar Lembah Klang Sebagai Gelanggang Rasmi Liga Malaysia 2021

Ernest Wong Pulang Ke New Zealand, KL United Kini Miliki Empat Penjaga Gol

Jack Hindle Dan Mario Arqués Lengkapkan Kuota Pemain Import TRW Kelantan FC