Juara bertahan, Perancis menepati ramalan layak ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar selepas menewaskan Poland, 3-1 di pusingan kalah mati semalam.

Malah, bintang Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe mencuri tumpuan apabila mempamerkan kasi yang memukau dengan meledak dua gol di separuh masa kedua yang membantu pasukannya mencipta kemenangan.

Penyerang veteran, Olivier Giroud membuka jaringan buat Les Bleus menerusi gol ke-52 peringkat antarabangsa seterusnya mengatasi rekod sepanjang zaman Thierry Henry bersama Perancis.

Bagaimanapun, tumpuan di Stadium Al Thumama lebih terarah kepada pemain berusia 23 tahun, Mbappe yang kini mengumpul sembilan gol pada dua edisi Piala Dunia.

Jaringan tunggal Poland hadir menerusi sepakan penalti pada tambahan masa dengan penyerang, Robert Lewandowski menyempurnakannya selepas bola terkena tangan Dayot Upamecano.

Namun, Poland sudah terlambat untuk mempamerkan kebangkitan dan keputusan 3-1 kekal sehinggat tamat perlawanan.

Poland terhutang budi kepada penjaga gol, Wojciech Szczesny kerana mengekalkan mereka dalam persaingan selepas menyelamatkan percubaan daripada Aurelien Tchouameni dan Ousmane Dembele.

“Ia bukanlah mudah kerana Poland sangat teratur dan cuba menyerang balas pantas,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

“Kemudian ada Kylian dengan kebolehan menyelesaikan pelbagai jenis masalah, dan itu bagus untuk kami.

“Pasukan ini sudah bersatu sejak awal dan jelas keputusan seperti ini hanya mengesahkan perkara itu. Keseronokan dikongsi semua orang,” tambahnya.

Perancis menyasarkan untuk menjadi pasukan pertama menang Piala Dunia berturut-turut selepas Brazil pada 1958 dan 1962 susulan menerajui Kumpulan D di Qatar.

Kylian Mbappe berkata impiannya ialah menang Piala Dunia buat kali kedua selepas membantu negaranya menjuarai pada tahun 2018.

“Sudah tentu, Piala Dunia ini adalah yang paling saya mahukan, ia kejohanan yang menjadi impian saya. Saya membina musim untuk kejohanan ini dan saya sudah bersedia mental dan fizikal untuknya.

“Saya mahu datang ke sini dengan bersedia dan setakat ini semuanya berjalan lancar, tapi kami masih jauh dari objektif yang kami tetapkan dan yang saya tetapkan,” kata Mbappe.