Juara bertahan, Perancis menepati ramalan apabila berjaya ke final Piala Dunia 2022 buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan wakil Afrika, Morocco 2-0 di peringkat separuh akhir sebentar tadi.

Untuk perlawanan ini, Perancis membuat dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan Adrien Rabiot dan Dayot Upamecano masing-masing diketepikan kerana mengalami kecederaan.

Youssouf Fofana beraksi di bahagian tengah menggantikan Rabiot, yang sebelum ini tampil dalam semua lima perlawanan Perancis tetapi tidak disenaraikan walaupun berada di bangku simpanan.

Pemain Liverpool, Ibrahima Konate menggantikan Upamecano bersama Raphael Varane di bahagian tengah pertahanan tengah namun pemain Bayern Munich itu berada dalam senarai di bangku simpanan.

Manakala Morocco kembali diperkuatkan oleh dua tonggak pertahanan,Β Nayef Aguerd dan Noussair Mazraoui yang tidak beraksi ketika menang 1-0 mengatasi Portugal di suku akhir.

Pengendali skuad Singa Atlas, Walid Regragui memilih untuk meletakkan tiga pemain di pertahanan tengah dengan kapten, Romain Saiss kembali cergas untuk memulakan perlawanan selepas cedera berdepan Portugal.

Namun begitu, puluhan ribu penyokong Morocco di Stadium Al Bayt terdiam seketika apabila Perancis terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-5 menerusi rembatan voli Theo Hernandez di sudut kiri gawang gol dalam kawasan kota penalti.

https://twitter.com/YhaliGarcia/status/1603120498837114880?s=20&t=cFP4NEKER7gE5EdIJnhi_w

Jaringan itu sekaligus memecahkan rekod tanpa bolos penjaga gol Morocco, Yassine Bounou berdepan pasukan lawan yang sebelum ini hanya dibolosi dek kerana jaringan sendiri rakan sepasukannya, Nayef Aguerd ketika bertemu Kanada di peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat pemain Morocco untuk mencari jaringan penyamaan dan mereka juga memperolehi dua peluang terbaik namun percubaan Jawad El Yamiq terkena tiang.

Perancis juga nyaris menambah gol kedua menerusi penyerang AC Milan, Giroud namun rembatannya sempat ditepis keluar oleh pertahanan Morocco. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Perancis bangkit dengan lebih garang dan kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan Morocco menerusi kelincahan Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann.

Namun begitu, Morocco juga kembali menguasai perlawanan dengan corak permainan yang lebih kemas sekaligus memaksa pertahanan Perancis bekerja keras mengekang pergerakan Hakim Ziyech dan Youssef En-Nesyri.

Sorakan padu tanpa henti penyokong Morocco turut membangkitkan semangat pemain Singa Atlas untuk tampil dengan aksi terbaik.

Ketika Morocco tengah rancak mencari jaringan penyamaan, Perancis melakukan serangan balas dan Mbappe mengambil kesempatan untuk menghuru-harakan kawasan kotak penalti lalu disudahkan oleh Randal Kolo Muani pada minit ke 79.

Jaringan tersebut juga telah memusnahkan harapan penyokong Singa Atlas untuk melihat negara mereka beraksi di final Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

Biarpun pengadil perlawanan memberi masa tambahan sebanyak 6 minit, ianya sudah terlambat untuk Morocco melakukan kebangkitan. Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus mengesahkan kemaraan Perancis ke final bertemu Argentina pada 18 Disember ini.

Manakala Morocco akan bertemu Croatia untuk penentuan tempat ketiga dan keempat pada 17 Disember.