Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui perancangannya sedikit terjejas selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pembatalkan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Bahrain berikutan penularan wabak coronavirus.

Perlawanan itu sepatutnya diaturkan sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE di Dubai pada 26 Mac 2020 namun FAM kini sedang mencari lawan yang lain sebagai pengganti.

“Kita tahu tahap Bahrain dan UAE tak jauh beza, jadi apabila ia dibatalkan memang mengganggu juga perancangan kita kerana bukan mudah nak bertemu UAE nanti.

“Apapun saya positif pihak pengurusan FAM dapat cari satu alternatif untuk adakan juga satu perlawanan persahabatan.

“Kalau kita tak dapat aksi persahabatan itu memang sukar kerana saya pun selaku jurulatih melihat perlawanan memanas badan itu sedikit sebanyak memberi pemain kita momentum atau dapatkan kecergasan kerana kita dah lama tak beraksi bersama,” katanya kepada Arena Metro.

Tan
Sumber Gambar: PFAM

Menerusi surat yang diterima FAM daripada Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA), hari ini, setiausaha agungnya, Ebrahim Saad Al Buainain memaklumkan bahawa pihaknya memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan penganjuran perlawanan berkenaan berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Bhutan bagi merangka satu perlawanan persahabatan.

“FAM akan cuba mencari pasukan yang bersedia untuk perlawanan persahabatan bertemu Harimau Malaya dan kemungkinan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Bhutan,” katanya.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya pernah berdepan dengan Bhutan pada 2018 lalu dimana skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 7-0 dengan Zaquan Adha menjaringkan empat gol manakala tiga gol lagi disumbang oleh Wan Zack Haikal, Irfan Zakaria dan Syafiq Ahmad.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Pengganti Bahrain Masih Menjadi Tanda Tanya

Skuad Harimau Malaya Berpeluang Kaut Hampir 40 Mata FIFA Ranking Jika Menang Semua Perlawanan Bulan Mac 2020