Ketua jurulatih Perak, Lim Teong Kim tidak berpuas hati dengan mutu pengadil selepas pasukannya tersingkir dari saingan Piala FA 2023 setelah tewas kepada Sri Pahang.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, Perak terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Christian Obiozor namun Sri Pahang berjaya bangkit menerusi jaringan Malik Mat Ariff dan sepakan penalti Stefano Brundo.

Fadhil Idris dilayangkan kad merah selepas mengasari Kpah Sherman dalam kawasan penalti. Keputusan ini cuba dibantah oleh pemain Perak namun pengadil tetap dengan pendirian beliau.

Lim Teong Kim nyata tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan namun beliau tidak mahu mengeluarkan komen berlebihan kerana enggan dihukum oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya kecewa dengan keputusan (pengadil) hari ini. Saya tak boleh bercakap dengan pegawai yang mengendalikan perlawanan, kerana kalau saya cakap, saya kena denda juga. Jadi, lebih baik tak perlu bercakap. Apa nak buat,” kata ketua jurulatih Perak itu dalam sidang media selepas perlawanan.

Selepas perlawanan, peminat Perak melahirkan kerisauan setelah skuad The Boss Gaurus mencatat lebih banyak kad merah berbanding jaringan setakat ini.

Menurut tinjauan Vocket FC di laman media sosial, peminat menggesa agar staf kejurulatihan membuat penelitian dan mencari faktor utama mengapa pemain muda melakukan kekasaran sekaligus dilayangkan kad oleh pengadil perlawanan.

Peminat berpendapat layangan kad merah boleh mengganggu rentak pasukan lebih-lebih lagi ketika mereka sedang mendahului pasukan lawan.

Selain Fadhil, dua lagi pemain iaitu Haziq Puad dan Obiozor turut dilayangkan kad merah ketika aksi pembukaan Liga Super bertemu Kedah Darul Aman.