Sri Pahang FC mencatatkan kemenangan dramatik pada aksi pusingan pertama Piala FA 2023 selepas menundukkan Perak 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Kemenangan penting dilakarkan itu menyaksikan Sri Pahang akan bertemu Selangor di gelanggang lawan pada pusingan kedua (16 pasukan terbaik).

Sri Pahang yang dibimbing legenda Singapura, Fandi Ahmad memulakan aksi dengan beberapa serangan ke arah pintu gol Perak tetapi percubaan leret Sergio Aguero dalam kawasan penalti pada minit ketujuh berjaya diselamatkan penjaga gol, Bryan See Tian Keat.

Berselang enam minit kemudian, Kpah Sherman turut mendapat peluang dalam kawasan penalti, namun pertahanan Perak kental bertahan untuk menghalang pemain import dari Liberia itu melakukan percubaan.

Selepas itu, giliran Muhamad Nor Azam Azih pula kecewa apabila tandukannya ketika beliau tidak dikawal pemain pertahanan tuan rumah sekadar meliar.

Tersentak dengan tekanan diberikan Sri Pahang, Perak kemudiannya tampil lebih baik dengan gerakan menarik dijelmakan dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-15.

Bagaimanapun, Christian Obiozor terlepas peluang untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan pemain muda dari sebelah kiri pintu gol Sri Pahang oleh Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik.

Dua peluang terbaik dalam tempoh tiga minit turut disia-siakan Shafizi Iqmal Md Khirudin dan Obiozor apabila percubaan mereka dalam kawasan penalti mudah diselamatkan Mohd Izham Tarmizi Roslan di gawang Sri Pahang

Jaringan yang dinantikan para penyokong Perak hadir pada minit ke-34 selepas Obiozor yang menerima umpanan baik daripada Shafizi berjaya melakukan percubaan tonjol untuk menewaskan Izham bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Memasuki minit ke-66, Perak terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Fadhil diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria Ismail berikutan kad kuning kedua diterimanya.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya barisan pemain Sri Pahang yang berjaya mendapatkan jaringan penyamaan menerusi Abdul Malik Mat Ariff susulan situasi sepakan penjuru pada minit ke-81.

Enam minit kemudian, Kpah Sherman hampir memberikan kelebihan buat Sri Pahang tetapi tolakan ketika Bryan See sudah keluar daripada posisinya diselamatkan oleh Sunday Afolabi dan Raja Imran Shah Raja Amin.

Tuah nyata memihak skuad Tok Gajah apabila mendapat sepakan penalti pada minit ke-95 dan peluang itu disempurnakan dengan baik Stefano Brundo untuk mengesahkan kemaraan buat Sri Pahang.