Kedah Darul Aman (KDA FC) memulakan kempen Liga Super Malaysia 2023 dengan langkah kanan apabila mudah menundukkan Perak 4-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Berdepan Perak yang mendapat sokongan lebih 15,000 penyokong sendiri tidak langsung menggentarkan anak buah Nafuzi Zain untuk mempamerkan aksi mantap pada perlawanan ini.

Tuan rumah bagaimanapun berada dihadapan seawal minit keempat apabila Ikhwan Hafizo melakukan rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Tersentak dengan jaringan deripada Perak itu, Kedah tampil dengan lebih baik untuk memperkemaskan aksi dan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-17 menerusi rembatan daripada luar kawasan penalti oleh Lee Andrew Tuck.

Malang menimpa Perak ketika permainan memasuki minit ke-35 selepas pemain pertahanan, Ahmad Haziq Puad diperintah keluar padang ekoran kad kuning kedua diterimanya.

Keadaan itu digunakan sepenuhnya oleh Kedah untuk mendominasi permainan tetapi terpaksa menunggu hingga minit ke-67 bagi menambah jaringan kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import, Willian Lira Sousa.

Selepas itu, Perak kehilangan seorang lagi pemain susulan kad merah yang diterima Sunday Afolabi sekali gus menyulitkan lagi skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim itu untuk bangkit.

Kesempatan itu diambil Kedah yang menambah dua lagi jaringan hasil sumbangan Ariff Farhan Md Isa dan Jonathan Boareto Dos Reis ‘Balotelli’ sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukan pelawat.