Perak terus mendapat suntikan semangat menjelang bersambungnya Liga Premier Malaysia 2022 apabila baharu sahaja mengumumkan kehadiran tiga pemain import dalam usaha memantapkan skuad kendalian Yusri Che Lah itu.

Pemain dimaksudkan ialah individu sama yang diumumkan bakal diuji tempoh hari iaitu Stipe Plazibat, Luciano Guaychochea dan Sunday Kolawole Afolabi.

Plazibat merupakan penyerang dari Croatia yang berpengalaman beraksi di Asia Tenggara bersama Lion City Sailors, Home United, Hougang United dan Bangkok Glass (Thailand). Beliau juga hadir dengan reputasi baik selaku penjaring terbanyak Liga Premier Singapura 2022/21.

Sementara itu, Luciano yang berusia 30 tahun beraksi di posisi tengah menyerang dimana kelab terakhir diwakilinya pasukan dari Bolivia, Oriente Petrolero. Manakala, Sunway berperanan sebagai pemain tengah yang pernah beraksi dalam saingan liga di Portugal dan Slovakia.

Menurut pengerusi Perak FC, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, ketiga-tiga pemain tersebut diikat sehingga tamat musim ini dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak mereka berdasarkan prestasi ditampilkan.

Dengan kehadiran tiga pemain tersebut, ia jelas akan meningkatkan lagi kemampuan skuad Yob itu selepas mereka turut mendaftarkan 14 pemain baharu yang diketuai oleh Indra Putra Mahayuddin, Zamir Selamat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Ahmad Syamim Yahya dan ramai lagi.

Meskipun mencatatkan dua kemenangan dalam kempen liga, Perak masih di tangga terbawah dengan negatif tiga mata ekoran hukuman penolakan sembilan mata dikenakan berikutan masalah tunggakan gaji dihadapi sebelum ini.

Perak akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu ini untuk berhadapan Kelantan United dalam saingan liga.