Skuad The Bos Gaurus bakal menjadi pasukan pertama liga super yang kembali menjalani latihan pada hari ini setelah berehat hampir 4 bulan berikutan penularan wabak pandemik COVID-19.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata pihaknya akan mengadakan sesi latihan di Stadium Perak, di Ipoh secara tertutup dengan pemain dipisahkan kepada dua kumpulan dan menjalani sesi latihan berasingan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“SOP dikeluarkan itu seiring dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MFL telah memberi penerangan dengan lebih jelas. Bilangan pemain dibenarkan hanya 10 orang dalam satu sesi selama 45 minit.

“Cadangannya adalah pasukan mengadakan dua sesi latihan dalam satu hari secara tertutup. Untuk Perak II kami bercadang latihan diadakan di Kompleks Bola Sepak Perak untuk dua sesi juga,” katanya dalam kenyataan MFL.

Bagaimanapun, Mohamad Azlin berkata pihaknya belum memuktamadkan mengenai sesi latihan skuad Perak II di Kompleks Bola Sepak Perak memandangkan lokasinya agak terbuka.

Antara 4 perkara utama digariskan MFL sebelum pasukan dibenarkan memulakan sesi latihan adalah setiap pasukan perlu menyerahkan ujian swab yang disahkan oleh doktor pasukan kepada MFL dan melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan.

Dua perkara lagi ialah pasukan wajib menamakan pusat latihan yang diadakan di kawasan tertutup dan venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), notification.miti.gov.my.

Manakala pasukan lain seperti Selangor, Melaka United, Felda United dan Kedah dijangka akan menjalani latihan pada minggu hadapan. 

Pada Isnin lepas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi kebenaran untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan tanpa sentuhan badan dengan melakukan penjarakan sosial tiga hingga lima meter bermula 15 Jun ini.

Saingan Liga Super dan Liga Premier yang ditangguhkan pada 16 Mac lepas susulan penularan pandemik COVID-19, dijangka bersambung semula pada September ini jika mendapat kebenaran rasmi daripada MKN.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Yaren Sozer Pasang Impian Beraksi Di Saingan Liga Super

Semua Pemain Pasukan Liga Malaysia Wajib Menjalani ‘Swab Test’ Sebelum Turun Menjalani Latihan

Lihat Visual Padu Rekaan Lelaki Ini Untuk ‘Redevelopment of SSINS’ Kuala Terengganu Yang Dipandang Sepi Oleh Pihak Atasan