Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan mula menjual tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 menentang Kedah pada 23 Julai ini.

Menurut kenyataan rasmi di laman facebooknya, kaunter jualan tiket akan dibuka di 10 kawasan iaitu Stadium Perak, Gerik, Kuala Kangsar, Parit Buntar dan Manjung. Kawasan lain adalah Tapah, Bagan Datuk, Kampung Gajah, Tanjung Malim serta Teluk Intan.

Kaunter tersebut akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 5.00 petang atau sehingga tiket diperuntukkan di kawasan itu habis dijual. Harga tiket tersebut ialah RM50 (dewasa), manakala tiket untuk kanak-kanak bawah 12 tahun berharga RM5 dan setiap individu hanya boleh membeli dua tiket sahaja.

“Maklumat lanjut termasuk lokasi tempat penjualan tiket selain di Stadium Ipoh akan dimaklumkan kemudian.

“Sekiranya tidak habis, hanya satu kaunter tiket akan dibuka keesokan harinya (24 Julai) iaitu di Stadium Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, penjualan tiket dalam talian menerusi laman web Shopee telah pun bermula hari ini dan esok pada pukul 12.00 tengah hari. Para penyokong boleh dapatkan tiket tersebut melalui pautan di sini. 

PAFA turut akan membuka kaunter khas di Stadium Perak untuk pemegang pas semusim 2019 serta pemegang keratan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2019 antara Perak menentang Pahang pada 29 Jun lepas dengan seorang hanya layak membeli satu tiket.