Perak terus mengambil langkah proaktif dalam usaha merangsang peningkatan kualiti pasukan tersebut selepas berjaya memeterai kerjasama dengan kelab saingan Bundesliga, VfL Wolfsburg.

Dalam satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) yang diadakan di Menara SSI, Ipoh sebentar tadi, kedua-dua pihak telah menyatakan komitmen sehingga penghujung tahun hadapan merangkumi pelbagai program pembangunan belia, perpindahan teknologi sistem kerja dan penjualan cenderahati rasmi pasukan.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Perak FC, Dato Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bersama Naib Presiden Kanan Wolfsburg, Andreas Kruse.

Menurut Dato Seri Abdul Azim, kerjasama itu juga akan memberikan peluang kepada pasukan untuk menjalani sesi latihan pra-musim bersama kelab yang kini menghuni tangga ke-13 itu.

Malah, barisan kejurulatihan Wolfsburg juga akan dibawa ke Perak untuk menurunkan ilmu kepada para pemain berkaitan kaedah latihan bola sepak Eropah.

“Kami memilih untuk bekerjasama dengan Perak adalah kerana kelab ini bercita-cita tinggi dan mempunyai sejarah tersendiri seperti kami,” ujar Kruse.

Perkembangan terbaharu itu menjadi antara langkah penting sejak XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd mengambilalih kelab tersebut daripada sebuah pasukan yang hampir berkubur ekoran masalah kewangan.

Selain isu masalah tunggakan gaji yang sudah pun diselesaikan sebaik sahaja memiliki pasukan ini, pengurusan tertinggi Perak FC juga pantas membawa masuk pengendali baharu, Lim Teong Kim untuk menggalas tanggungjawab membimbing pasukan bagi menghadapi Liga Super 2023.