Pengerusi Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengakui pihaknya merancang membina stadium dan pusat latihan sendiri bagi menyediakan kemudahan terbaik untuk pemainnya.

Untuk merealisasikan hasrat itu, mereka telah pun memohon kepada pihak berkuasa Perak untuk mendapatkan sokongan penuh dari segi pemberian tanah.

Bercakap kepada Bernama, Abdul Azim menjelaskan proses itu masih berjalan dan mereka sedia tanggung kos pembangunan stadium dan pusat latihan tersebut.

“Saya mohon sokongan mereka (pihak berkuasa), bukan sokongan dari segi duit tetapi kita perlu tanah dimana kita boleh bangunkan stadium. Kos (pembangunan) kami tanggung. Bukan kita minta kerajaan negeri naikkan stadium cuma perlukan tanah.

“Jadi tanah itu kalau ingin dijual atau dipajak harga biar berpatutan kerana duit pasukan tidak mengalir begitu saja,” katanya kepada Bernama.

Pengerusi Perak FC
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Malah, beliau juga mendedahkan pengurusan pasukan tersebut mempunyai bajet untuk tukar padang di Stadium Perak di Ipoh walaupun ia bakal menelan kos tinggi.

“Kalau banding dengan JDT, stadium mereka hanya untuk JDT saja, jadi kita nak begitu juga kerana padang begitu penting kepada pemain. Jangan kerana padang, pemain terseliuh atau patah kaki kerana permukaan padang yang tidak rata,” katanya.

Terdapat tanah kosong di sekeliling pusat latihan pasukan itu di Chemor, Ipoh yang dilihat sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat latihan baharu selain hotel penginapan, pusat fisioterapi, gimnasium dan kemudahan lain.

Menurut Abdul Azim, jika mahu menarik minat pemain berkualiti menyertai Perak FC, mereka perlu terlebih dahulu menyediakan fasiliti yang lengkap seperti dimiliki oleh kelab dari luar negara.

Pihaknya kini sudah boleh mula merangka persiapan lebih baik bagi memastikan pasukan itu menjadi bertambah mantap selepas kembali menyertai Liga Super tahun depan.

“Usaha kami pada awalnya tetap dengan pengukuhan struktur kelab serta membina kembali Perak FC. Ia adalah perjalanan yang sungguh menarik. Kini, Perak FC boleh membina skuad dengan lebih teliti dan realistik untuk bersaing dalam Liga Super bersama pasukan-pasukan yang terhebat di Liga Malaysia.

“Dengan kembalinya Perak FC ke Liga Super, kami akan mencuba sesuatu yang baru untuk memastikan penyokong berasa bangga yang anda peminat setia Perak FC,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.