Pasukan Perak berdepan masalah untuk mendaftarkan pemain baharu mereka menjelang saingan Liga Malaysia musim 2022 yang akan bermula pada Mac ini.

Perak perlu menyelesaikan hutang gaji pemain sebesar RM1,773,532.50 sebelum jendela perpindahan pertama ditutup pada 22 Februari ini dan sekiranya gagal, maka mereka akan dikenakan hukuman tidak dibenarkan untuk menandatangani pemain baharu dan terpaksa menggunakan pemain sedia ada.

Kelab yang akan bersaing di Liga Premier itu berhutang dengan bekas pemain seperti Jeon Hyo Seok sebanyak US$100,000 atau RM420 Ribu, Leandro Dos Santos sebanyak US$136,800 atau RM574 Ribu selain RM41,000 serta bunga sebanyak lima peratus, Careca sebanyak US$122,400 atau RM514 Ribu selain RM14,000 serta bunga sebanyak lima peratus dan ejen pemain iaitu Valdir de Souza sebanyak US$51,000 atau RM214 Ribu.

Jika Perak gagal untuk menyelesaikan hutang tunggakan gaji ini, maka mereka akan beraksi dengan pemain sedia ada yang dilaporkan hanya seramai 14 hingga ke 15 pemain sahaja.

Sebelum ini, beberapa pemain berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia seperti Indra Putra Mahyuddin, Wan Zack Haikal san Syamim Yahya dikhabarkan bakal menyertai pasukan itu bagi menghadapi saingan musim 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam berkata sekiranya Perak gagal untuk mendaftarkan seramai 20 pemain yang merupakan kelayakan minimum, maka pasukan itu berpotensi untuk disingkirkan dari saingan Liga Premier.

Namun Stuart berharap perkara itu boleh dielakkan dengan budi bicara ahli lembaga pengarah MFL yang akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.

Sekiranya Perak tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Premier, maka hanya sembilan pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim II, Kelantan, Kelantan United, Kuching City, PDRM, Selangor II, Terengganu II, UiTM FC dan Skuad Projek FAM-MSN yang akan mengambil bahagian musim ini.

Selain Perak, UiTM juga dikhabarkan berdepan kesukaran untuk mendaftarkan pemain susulan pengambilan pemilik baharu yang belum selesai sekaligus pemain belum menandatangani sebarang kontrak meskipun sudah tiga minggu berlatih.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Daniel Ting Mungkin Tamatkan Kontrak Bersama Kuala Lumpur City

TRW Kelantan Mohon Tarik Diri Dari Kejohanan Piala Belia 2022, Faktor Kewangan Jadi Punca Utama

Enam Negara Mahu Uji Skuad Harimau Malaya