Dalam usaha untuk memantapkan lagi jentera pasukan bagi menghadapi baki sembilan perlawanan Liga Premier Malaysia 2022, Perak dilaporkan bakal menguji tiga orang pemain import pada hujung minggu ini.

Keputusan itu diambil selepas Perak berjaya menyelesaikan segala tunggakan gaji termasuklah melibatkan para pemain import dan hanya menunggu sekatan pendaftaran pemain ditarik balik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut satu kenyataan dikeluarkan laman Facebook rasmi Perak Football Club sebentar tadi, pemain-pemain yang bakal diuji itu beraksi di posisi tengah bertahan, tengah dan penyerang.

Penyerang dimaksudkan ialah Stipe Plazibat yang merupakan pemain berpengalaman luas dalam kancah bola sepak di Asia Tenggara. Hal ini kerana beliau beraksi selama empat musim di Singapura dan setahun bersama Bangkok Glass [Thailand].

Pada musim terakhirnya [2020/21] di Singapura ketika menyarung jersi Lion City Sailors, Plazibat berjaya menjaringkan 14 gol dalam 17 penampilannya bersama kelab tersebut. Selain Lion City Sailors, Plazibat turut pernah beraksi bersama Home United dan Hougang United.

Lebih menarik mengenai pemain berusia 32 tahun ini, beliau merupakan teman baik kepada bintang Croatia, Ivan Perisic dimana mereka bermain bersama selama sembilan tahun di peringkat remaja. Kedua-dua mereka merupakan produk keluaran Akademi Hajduk Split.

Sementara itu, dua lagi pemain yang bakal diuji menentang Christian Seoul University pada Ahad nanti ialah Luciano Guaycochea dari Argentina dan pemain tengah bertahan kelahiran Nigeria, Sunday Kolawole Afolabi.

Sekiranya ketiga-tiga pemain tersebut berjaya mempamerkan kemampuan hebat sebagai pemain import sehingga ditawarkan kontrak, kehadiran mereka nyata dapat menambah kekuatan Perak yang akan turut mendaftarkan 14 pemain tempatan baharu seperti Indra Putra Mahayuddin, Syamim Yahya, Wan Zack Haikal Wan Nor dan ramai lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Yusri: Layak Ke Piala Malaysia Sasaran Paling Realistik Buat Perak

Australia Pasukan Ke-6 Dari Asia Layak Ke Piala Dunia 2022

Erling Haaland: Man City Kelab Yang Betul Untuk Penuhi Impian Saya