Meskipun sudah bergelar sebagai juara Liga Premier musim ini, namun terdapat segelintir penyokong Sabah masih kekal dengan pendirian mereka untuk boikot tidak hadir ke Stadium Likas termasuk perlawanan upacara penyerahan trofi kejuaraan malam ini.

Difahamkan kempen boikot dalam kalangan penyokong Sabah yang telah dimulakan sejak awal tahun ini mempunyai berkaitan dengan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa peraturan yang dikuatkuasakan oleh kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang diketuai oleh Datuk Peter Anthony.

Antara peraturan tersebut ialah mengharamkan banner atau poster yang tidak memaparkan maskot baharu pasukan Sabah iaitu Tambadau dan larangan kemasukan alat muzik seperti gendang ke dalam Stadium. Malah, SAFA juga menimbulkan kemarahan penyokong dengan menukarkan warna jersi tradisi sebagai tuan rumah daripada merah kepada putih.

Bagaimanapun, sebahagian daripada penyokong tetap hadir memberikan sokongan padu ketika perlawanan berlangsung di tempat lawan kerana tidak terikat dengan peraturan ‘kuku besi’ oleh SAFA. Buktinya dapat dilihat ketika perlawanan penentuan kejuaraan Liga menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam pada minggu lepas.

66214765_2414533518793767_1692760449461780480_n
FOTO: SABAH FA

Malah minggu lalu, pengurus pasukan itu, Henry Soimpon turut mencetuskan satu kenyataan kontroversi yang tidak disenangi oleh para penyokong Sabah. Beliau menyalahkan pukulan gendang daripada penyokong sendiri terlalu kuat hingga mengganggu pihak kejurulatihan pasukan Sabah berkomunikasi dengan pemain ketika dalam perlawanan.

“Kadang kala, kami di bahagian pengurusan mengalami masalah komunikasi apabila arahan yang diberikan kepada pemain tidak sampai kepada mereka.

“Ia juga memberi kesan kepada para pemain, apabila penjaga gol atau pertahanan ingin berikan arahan kepada penyerang untuk mengawal pemain lawan, mereka tidak dengar kerana paluan gendang,” katanya dalam satu temuramah bersama stesen radio tempatan, Atukoi FM.

sabah

Biarpun kemarahan penyokong Sabah terhadap SAFA masih belum reda, presiden SAFA, Datuk Anthony Peter tetap menyeru semua peminat datang beramai-ramai ke stadium untuk menyaksikan trofi Liga Perdana diserahkan kepada pasukan tersebut selaku juara musim ini.

“Ia sejarah yang membuka lembaran baru buat Sabah dalam kancah bola sepak negara, menamatkan penantian 23 tahun selepas kali pertama merangkul gelaran juara Liga Perdana pada 1996.

“Skuad Tambadau juga akan kembali ke saingan utama bola sepak negara, iaitu Liga Super, musim depan,” katanya.

Sebarang keputusan malam ini tidak akan mempengaruhi kedudukan Sabah, tetapi kemenangan amat penting buat Kelantan yang kini bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran selepas hanya mengumpulkan 14 mata.