Keputusan 1-1 yang diraih Nigeria pada aksi bertemu Ghana awal pagi tadi menyaksikan skuad Super Eagles terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat saingan Piala Dunia 2022 yang bakal berlangsung di Qatar, hujung tahun ini.

Keadaan itu menyaksikan Nigeria gagal untuk membuat penampilan dalam kejohanan bola sepak paling berprestij tersebut buat kali keempat berturut-turut selepas mereka tidak pernah terlepas untuk bertanding sejak tahun 2010.

Kehampaan itu bukan sahaja dapat dilihat dalam kalangan pemain, malah para penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Moshood Abiola, Abuja turut meluahkan kekecewaan mereka berikutan keputusan dicatatkan.

Ia jelas dibuktikan apabila para penyokong telah bertindak di luar kawalan dengan membaling objek kepada sekumpulan kecil para penyokong pasukan pelawat yang hadir memberikan sokongan buat pasukan mereka.

Lebih memburukkan lagi keadaan ekoran sistem keselamatan yang kurang baik, penyokong Nigeria turut menceroboh kawasan padang sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan pengadil dari Tunisia, Sadok Selmi sehingga menyebabkan pemain Ghana berada dalam keadaan bahaya.

https://twitter.com/gwf_official/status/1508905080635985932

Selain itu, tempat duduk pemain simpanan juga dilihat telah dihancurkan oleh para penyokong yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Keadaan akhirnya dapat ditenteramkan selepas pihak Polis mula memukul penyokong bermasalah yang berada di atas padang dengan belantan serta menggunakan gas pemedih mata bagi memulihkan keadaan.

Seri tanpa jaringan di gelanggang lawan pada aksi pertama menyaksikan skuad kendalian Augustine Eguavoen itu perlu untuk mencatatkan keputusan positif di Abuja.

Namun, Thomas Partey terlebih dahulu memberikan kesukaran buat mereka menerusi jaringan seawal minit ke-10 berikutan kesilapan mudah dilakukan penjaga gol Nigeria, Francis Uzoho. Ketua pasukan, William Troost-Ekong kemudiannya memberikan sekelumit harapan selepas kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-22.

Namun, keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menyaksikan pasukan pelawat melangkah pulang dengan kegembiraan dapat layak ke Piala Dunia 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Penalti Mane Hantar Senegal Ke Piala Dunia 2022

Kelayakan Piala Dunia 2022: Vietnam Berjaya Ikat Jepun 1-1

Jaringan Sulung Tingkatkan Moral Petrus Shitembi

Sumber