Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SPFC) hari ini mengumumkan logo baharu yang akan digunakan sebagai lambang rasmi skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia. Logo tersebut dipilih daripada hasil penyertaan Pertandingan Cipta Logo yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) pada bulan Oktober 2020.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian mengesahkan daripada jumlah itu, PBNP menerima 563 penyertaan mencipta logo dan nama manakala tujuh lagi hanya memberikan nama sahaja.

Setiap rekaan dipilih dan disaring dengan teliti oleh panel yang dilantik. Salah satu syarat mereka ialah rekaan logo mestilah asli dan tidak mengandungi unsur yang boleh dianggap sensitif dan menyinggung mana-mana agama, budaya serta kepercayaan.

Pertandingan tersebut berakhir pada 10 oktober lalu dan para peminat telah diberi peluang untuk mengundi 6 logo terbaik melalui laman web rasmi Pahang FA, apps dan juga media sosial rasmi Pahang FA.

Tinjauan di laman web rasmi ketika itu mendapati logo rekaan Mohd Amirul Akashah menerima undian terbanyak dan dipuji oleh para penyokong Pahang. Manakala logo rekaan Aliff Helmi Ismail menerima undian kedua terbanyak dan rekaan Fazul Nizam Kamarazman berada di kedudukan ketiga.

WhatsApp Image 2020-10-31 at 7.54.01 PM
Logo rekaan Amirul Akashah yang menjadi pilihan penyokong Pahang.

Walaupun logo rekaan Amirul Akashah menerima undian terbanyak, namun PBNP membuat keputusan untuk mengabungkan tiga rekaan tersebut menjadi lambang rasmi pasukan berdasarkan syarat pertandingan yang membolehkan mereka meminda atau mengubah logo mengikut kesesuaian.

Bentuk ‘shield’ rekaan logo Aliff Helmi menjadi pilihan sebagai asas logo sambil digabungkan dengan bentuk cogan daun kopi dan gading gajah bersilang rekaan Amirul Akashah.

Manakala perkataan ‘Sri Pahang FC’ dan bentuk bola sepak diambil inspirasi daripada rekaan logo Fazrul Nizam. Bagaimanpun, sehingga artikel ini ditulis belum ada nama pemenang diumumkan secara rasmi.

logo phg

Perubahan tersebut turut mengundang kritikan daripada para penyokong pahang kerana pertandingan itu didakwa telah menganiaya peserta. Difahamkan sehingga kini, para peserta juga belum terima hadiah seperti yang dijanjikan sekaligus menjejaskan kejujuran dan integriti PBNP sebagai penganjur.

“Kalau dah ada nama pasukan dan logo pasukan pilihan sendiri, janganlah buat pertandingan. Terus je umum. Janganlah berselindung di sebalik pertandingan hanya untuk mengelakkan dari dikecam.

“Apapun, tahniah kerana anda dah menganiaya 2 pihak. Pertama, pereka logo yang dah dah mencurahkan kreativiti dan tenaga mereka dalam menghasilkan logo untuk menyertai pertandingan.

“Yang kedua, penyokong yang disuruh mengundi untuk memilih pemenang. Untuk apa perlunya undian penyokong kalau bukan untuk cari pemenang? Tak masuk akal langsung.

“Kami diberitahu setakat jam 12:00pm tadi, pemenang masih belum dapat hadiah yang dijanjikan. Mana kejujuran dan integriti anda sebagai penganjur?,” tulis kenyataan daripada Elephant Army.

Undian ditutup pada 1 November 2020 dan pemenang dijanjikan wang tunai sebanyak RM4,000 bagi kategori cipta logo dan RM4,000 lagi untuk kategori cipta nama baharu. Selain itu, mereka juga turut akan menerima hadiah tambahan berupa penginapan percuma di hotel terpilih dan barangan sukan.

Isu pemilihan logo sentiasa kontroversi dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Diharapkan PBNP dapat menjelaskan kepada penyokong setia kenapa logo tersebut menjadi pilihan utama berbanding logo yang diundi oleh para peminat.

Baca artikel lain mengenai isu logo pasukan Liga Malaysia yang pernah dilaporkan oleh Vocket FC sebelum ini melalui pautan dibawah.

Logo Baru Kelab Melaka United FC ‘Kantoi’ Diubahsuai, Logo Asal Milik Syarikat Bare Blends Dari Australia?

Rekaan Kepala Rusa Logo Baru Kelantan FC Jadi Bualan Hangat, Ciplak Terus Atau Ada Lesen Dari Pereka Asal?

Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat