Penyokong Kedah Darul Aman mahukan ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak bagi menggantikan menggantikan Aidil Sharin yang resmi meninggalkan pasukan pada 17 Oktober lalu.

Pengurusan pasukan mengambil keputusan untuk menamatkan khidmat Aidil Sharin susulan kemerosotan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super 2022 yang menyaksikan Kedah menduduki tangga ke-8, jauh berbeza berbanding saingan musim 2021 yang mana mereka menamatkan saingan di tangga ke-2. Beliau digantikan dengan Victor Andrag bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

Menurut laporan Majoriti, tinjauan mereka di laman media sosial mendapati peminat mahukan Bojan untuk menggantikan Aidil selepas jurulatih dari Croatia itu menunjukkan prestasi yang cemerlang bersama KL City.

Musim lalu, Bojan Hodak membantu Kuala Lumpur memenangi trofi Piala Malaysia dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di perlawanan akhir dengan keputusan 2-0 sekaligus melayakkan diri ke saingan Piala AFC musim ini.

Rentak cemerlang KL City berterusan dalam saingan Piala AFC dimana mereka berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir namun terpaksa akur apabila tewas kepada kelab Oman, Al-Seeb dengan keputusan 3-0 sekaligus bergelar naib juara edisi musim ini. KL tidak pulang dengan tangan kosong apabila mereka dipilih sebagai pemenang anugerah Fair Play.

Sebelum ini, Kedah dikaitkan dengan ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain setelah pengendali itu masih belum menerima sebarang kontrak lanjutan daripada pengurusan pasukan.

Baru-baru ini, pengurusan Terengganu memberikan kontrak lanjutan selama semusim kepada Nafuzi namun beliau belum membuat keputusan sama ada mahu menerima kontrak lanjutan tersebut atau berhijrah menyertai pasukan baharu pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.