Kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah sampai ke kemuncak apabila Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof memutuskan badan induk bola sepak negeri Perak itu digantung selama enam bulan.

Menurut laporan Bernama, keputusan itu diambil PJS berikutan terdapat perlanggaran terhadap perlembangaan persatuan dalam mereka membuat keputusan.

Ketidaktentuan dalam kem PAFA jelas kelihatan pada 23 November 2021 selepas pemangku Presiden, Datuk Mohammad Yadzan Mohamed mengumumkan pemecatan 12 ahli gabungan ekoran perlanggaran perlembagaan artikel 80 yang mengatakan tiada ahli gabungan boleh menjadi ahli kepada dua persatuan.

Ahli gabungan yang dimaksudkan ialah Persatuan Bola Sepak (PB) Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian kerana dikatakan menjadi ahli kepada PB Melayu Perak.

Bagaimanapun, penggantungan PAFA tidak menjejaskan penyertaan Perak FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam sambil menjelaskan, Pafa dan Perak FC merupakan dua entiti berbeza, selepas berlakunya proses penswastaan.

“Perkara itu tidak timbul, kerana ia bukan dalam organisasi yang sama,” katanya.

Namun begitu, PAFA diberi tempoh 30 hari sekiranya berhasrat mengemukakan rayuan berhubung penggantungan selama enam bulan dikenakan ke atas persatuan itu.

Wakil PJS, Ibrahim Mohd Yusof berkata tempoh itu bermula dari tarikh notis dikeluarkan, yang dijangka dibuat dalam masa terdekat.

“Berdasarkan perbincangan semalam dengan kedua-dua pihak, mereka bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Pertamanya kami akan bagi notis untuk penggantungan, mungkin hari ini.

“Namun, Pafa diberikan hak untuk merayu, tetapi ia perlu dibuat dalam tempoh 30 hari,” katanya dipetik dalam Bernama.

Ibrahim pada sidang media di Ipoh semalam, memaklumkan Pafa digantung enam bulan kerana pelanggaran perlembagaan persatuan sewaktu pemecatan keahlian 12 gabungan badan sukan tersebut pada 25 November lalu.

Beliau berkata penggantungan itu antara lain bagi memberi ruang dan peluang kepada Pafa untuk menubuhkan barisan jawatankuasa baharu dan menyelesaikan kemelut pengurusan bola sepak negeri berkenaan.

Keputusan penggantungan itu dicapai dalam satu mesyuarat semalam, yang dihadiri Ibrahim, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan mewakili ahli gabungan yang dipecat dan Pemangku Presiden Pafa Datuk Muhammad Yadzan Mohammad.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam

Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium

Hasbullah Yakin Melaka United Akan Kembali Bangkit Buru Kemenangan