Pengurus Besar Amateur Football League (AFL) Hairul Azlee Mansor, menjangkakan sebanyak 20 penganjur liga bakal mendapat pengiktirafan sebagai Liga M4 dengan penambahan terbaharu sebanyak empat liga pada tahun 2019.

Selepas AFL memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Liga THB-KFA pada 4 September lalu, Hairul mendedahkan terdapat tiga lagi liga bakal mendapat pengiktirafan sebagai salah satu komponen Liga M4.

Situasi itu jelas satu petanda sihat kepada bola sepak amatur dan paling membanggakan, kewujudan liga amatur ini dilihat kian berkembang di seluruh pelosok negara serta tidak terlalu tertumpu di kawasan Lembah Klang semata-mata.

Penyertaan
Hairul Azlee Mansor. Sumber Gambar: MFL

“Buat masa ini 16 liga yang aktif sejak musim lalu akan terus disambung di samping kita baharu sahaja melakukan MoU dengan KFA sebelum ini iaitu Liga THB-KFA. Tiga lagi komponen terbaharu Liga M4 yang kami akan tandatangani MoU tidak lama lagi ialah Liga MAHSA, Liga Alumni dan Liga Perlis bagi tahun ini.

“Jadi secara keseluruhan, sudah 20 liga akan mendapat pengiktirafan oleh AFL pada tahun ini dan dijangka bilangan ini akan bertambah lagi kerana ada beberapa permohonan kami sedang pertimbangkan, ” katanya.

Shah Amateur League merupakan sebahagian daripada komponen Liga M4 dan meneruskan kerjasama buat tahun kedua selepas mendapat pengiktirafan bagi musim 2019.

Selain itu, Hairul menjelaskan terdapat enam komponen utama yang perlu dipatuhi oleh penganjur liga jika mahu meraih pengiktirafan daripada AFL jika mahu tersenarai dalam komponen Liga M4.

“Syarat pertama sekali ialah penganjur mesti berdaftar dengan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS), kemudian setiap padang pertandingan mestilah mengikut ukuran yang telah ditetapkan FIFA.itu, pengadil juga mestilah yang bertauliah manakala dua lagi syarat yang cukup penting ialah perlu ada kemudahan perubatan dan faktor keselamatan yang minimum.

“Satu lagi syarat setiap liga tidak boleh mendaftar pemain yang sudah beraksi di liga M4 yang lain, ini antara perkara yang wajib dipatuhi oleh setiap penganjur, ” katanya.

Dalam pada itu, penganjur Shah Amateur League, Sharidan Husain Chan, berbangga dengan pengiktirafan diberikan AFL dan terus berikrar akan terus membantu dalam mencungkil bakat-bakat baharu di arena bola sepak negara.

Sharidan Husain
Sharidan Husain. Sumber Gambar: MFL

“Sebagai salah seorang penganjur Shah Amateur League, saya rasa kesempatan ini bukan satu yang mudah untuk diperolehi dan kami akan terus komited membantu perkembangan bola sepak amatur.

“Sebenarnya ramai pemain yang bagus dalam M4 ini, cuma mereka ada kalanya tidak ada pendedahan walaupun berbakat serta ada skil tersendiri. Situasi ini berbeza dengan Piala FAM satu ketika dahulu kerana bilangan pasukan dari M3 dan M4 jauh lebih besar dan sekaligus buka ruang lebih banyak kepada pemain untuk beraksi, ” katanya.

Sebelum ini, Shah Amateur League dikenali Liga Shah Sport dan mempunyai penyertaan sebanyak 13 pasukan dengan Klasiko FC muncul juara pada musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga M3 dan Liga M4 di sini:

Penganjur Klang Valley League Cadangkan Struktur Liga M3 Dibahagikan Ikut Zon Dan Kawasan

Kelab Liga M3 Sambut Baik Inisiatif MFL Dan AFL