Penyerang Zenit, Claudinho menganggap Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai barisan pemain yang berkualiti selepas kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi persahabatan di Dubai baru-baru ini.

Zenit menemu bual Claudinho selepas perlawanan dan pemain dari Brazil itu menegaskan kemenangan ke atas JDT adalah penting buat pasukannya.

“Saya tidak tahu bahawa ini adalah kali pertama kedua-dua pasukan bertemu. Justeru itu, kemenangan ke atas pasukan lawan adalah lebih bermakna.

“Saya rasa mereka adalah satu pasukan yang baik. Mereka bersedia untuk beraksi dan mempunyai beberapa pemain Brazil dalam pasukan. Saya ada berbual dengan mereka selepas perlawanan.

“Mereka kini berada di satu tahap yang bagus dan memiliki barisan pemain yang berkualiti. Perlawanan sebentar tadi (semalam) sangat menyeronokkan,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung di di Stadium Maktoum Bin Rashid Al Maktoum, Zenit terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke 10 menerusi rembatan Rodrigao selepas menerima hantaran lintang daripada Danil Krugovoy.

Lima minit kemudian, bekas pemain B-23 Brazil, Malcom menambah gol kedua untuk Zenit apabila rembatan lencongnya dalam kawasan kotak penalti mudah menewaskan penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias.

Pada minit ke-31, pendahulu Liga Premier Rusia itu memperolehi gol ketiga menerusi Daniela Kozlov yang tidak dikawal sekaligus menyudahkan hantaran lintang cantik dari sebelah kiri dalam situasi kelam kabut.

Peluang terbaik skuad Harimau Selatan hadir pada minit ke 32 tetapi hantaran lintang Matthew Davies gagal dimanfaatkan oleh Diogo Luis Santo. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh JDT namun mereka beraksi lebih baik di separuh masa kedua. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad Harimau Selatan akan pulang ke tanah air untuk membuat persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Liga Malaysia 2023 bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan.