Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai 24 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan pada 6 Oktober 2021 dan Uzbekistan pada 9 Oktober ini di Amman, Jordan.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe memutuskan untuk memilih kelainan dalam senarai pemain yang dipanggil kali ini dimana beliau menggabungkan barisan pemain senior dan muka baharu bagi membawa cabaran dalam dua aksi persahabatan sekaligus persiapan menjelang saingan Piala AFF Suzuki 2020 pada hujung tahun ini.

Namun, terdapat kritikan daripada ramai pihak terutamanya peminat bola sepak tanah air mengenai pemain yang dipanggil dalam senarai kali ini. Antara pemain yang mendapat kritikan ialah pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula.

Ramai berpendapat Guilherme tidak sepatutnya dipanggil bagi memperkuatkan jentera serangan negara kerana jarang bermain bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tidak menampilkan prestasi yang memberangsangkan pada aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung pada Jun lalu.

Langkah alternatif yang dicadangkan ialah memanggil penyerang tempatan yang menampilkan prestasi baik dalam saingan Liga Premier musim ini seperti pemain muda, Azhad Harraz, penyerang Kelantan, Nurshamil Abdul Ghani dan Zaquan Adha Abdul Razak.

Tempatan

Sumber Gambar: TRW Kelantan FC

Nurshamil Abdul Ghani muncul sebagai penjaring terbanyak pemain tempatan dengan catatan 9 gol. Azhad pula berada di belakang Nurshamil dengan catatan 8 gol manakala Zaquan Adha pula menjaringkan 7 gol dan membantu Negeri Sembilan muncul juara.

Catatan ketiga-tiga pemain ini jauh lebih baik berbanding De Paula dan sekiranya kita menggunakan data dan statistik sedia ada, maka tiga pemain di atas lebih layak untuk dipanggil bagi memperkuatkan jentera skuad kebangsaan.

Akan tetapi, perkara sebaliknya berlaku dimana Cheng Hoe lebih memilih bekas pemain Selangor dan Perak itu bagi menjadi penggempur utama pasukan negara di samping Syafiq Ahmad dan Luqman Hakim.

Meskipun beraksi di saingan divisyen kedua, namun prestasi serta kemampuan yang ditampilkan sepanjang musim menjadi bukti nyata bahawa tiga pemain ini wajar diberikan peluang bagi beraksi bersama skuad kebangsaan.

Lebih banyak pilihan adalah lebih bagus khususnya di bahagian serangan kerana pasukan negara agak bergelut untuk menghasilkan penyerang yang mempunyai kualiti baik.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Semangat Nurshamil Kian Membara

KFA Akan Berunding Dengan LHDN Untuk Hapus Kira Tunggakan Cukai Tahun Lalu

Enam Pemain Utama Yang Tidak Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan Kali Ini

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group