Skuad Tok Gajah bakal diperkuatkan oleh penyerang import baharu apabila pemain dari Jordan, Mahmoud Zatara mengumumkan beliau akan menyertai Sri Pahang dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Menurut kenyataannya dalam laman instagram, beliau mengesahkan telah meninggalkan Al Wehdat untuk berhijrah ke Malaysia mencari pengalaman baharu selepas lebih 10 tahun beraksi di sekitar negara teluk arab.

“Kepada penyokong Al Wehdat, saya memohon maaf untuk musim lepas dan anda semua sentiasa di hati. InsyaAllah, saya akan ke Malaysia untuk menyambung kerjaya professional bersama Sri Pahang.

“Dan saya memohon kepada Tuhan untuk kejayaan dalam perjalanan baharu saya dengan mewakili Jordan dan Al Wehdat. Kejayaan ini tak akan datang tanpa sokongan dan doa daripada anda. Mohon dipermudahkan urusan, Insya-Allah,” tulisnya dalam laman Instagram.

Berdasarkan rekod, Zatara mempunyai 6 kaps bersama skuad kebangsaan Jordan dan pernah mewakili negaranya dalam Piala Asia 2015. Beliau juga pernah menyarung jersi skuad bawah 19 tahun hingga bawah 23 tahun Jordan dan menjaringkan 18 gol di pentas antarabangsa.

Selain beraksi di Liga Jordan, Zatara turut mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Oman bersama kelab Al Suwaiq,  Liga Bahrain bersama Al Busaiteen, Liga Qatar bersama Muaither SC dan Liga Kuwait bersama Al Salmiya.

Malah, pemain yang berusia 30 tahun itu pernah beraksi dalam AFC Cup 2019 bersama kelab Al Jazeera dan Kelayakan AFC Champions League 2015 bersama Al Wehdat. Beliau mempunyai rekod 4 gol dalam kedua-dua pertandingan itu.

Pengalaman luas yang dimiliki olehnya menjadi taruhan tok gajah untuk memperkuatkan jentera serangan bagi menggantikan tempat Kenny Athiu yang tidak disambung kontrak. Mahmoud Zatara juga merupakan pemain ketiga dari Jordan yang beraksi dalam Liga Malaysia selain Baha Abdel Rahman dan Yazan Al Arab daripada pasukan Selangor. 

Sri Pahang juga dilaporkan bakal diperkuatkan oleh abang kepada pemain Manchester United, Anthony Martial iaitu Johan Martial di posisi pertahanan. Mereka turut mengekalkan seorang pemain import musim lalu dari Argentina, Manuel Hidalgo.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengumuman rasmi daripada laman sosial Sri Pahang dan mereka dijangka akan mengumumkan barisan pemain serta jurulatih kepada penyokong dalam masa terdekat.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Penyerang Berbisa Dari Brazil, Herlison Caion Sah Sertai Selangor

Syafiq Ahmad Kembali Beraksi Bersama Kedah

Hairuddin Omar Sertai Barisan Kejurulatihan Terengganu Musim Depan

Penang Berlatih Lebih Awal Sebagai Persiapan Hadapi Musim 2022