Penyerang prolifik skuad Myanmar bawah 22 tahun (B-22), Aung Kaung Mann dilaporkan telah menerima tawaran daripada kelab Thailand dan Malaysia selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA di Filipina minggu lalu.

Dalam temasya itu, Kaung Mann telah menjaringkan 5 gol dan membantu negaranya melangkah ke peringkat separuh akhir serta membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan Kemboja.

Menurut laporan daripada Myanmar Times, pemain yang berusia 21 tahun itu sememangnya menyimpan impian untuk beraksi di luar negara namun telah menolak tawaran daripada kelab Malaysia kerana tidak gemar dengan corak permainan yang diamalkan oleh pasukan tersebut.

“Saya telah dapat tawaran daripada Thailand dan Malaysia tetapi saya masih belum membuat keputusan lagi. Bagaimanapun, saya telah menolak tawaran daripada kelab Malaysia kerana gaya permainan mereka tidak sesuai dengan saya,” jelasnya.

2019-11-27-tro-ly-u22-viet-nam-8-15748512431681126172227
Aksi Aung Kaung Mann ketika dalam saingan Sukan SEA 2019.

Difahamkan kelab Malaysia yang dimaksudkan ialah pasukan Perak selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan pemain yang beraksi dalam saingan Sukan SEA mungkin akan menyertai skuad The Bos Gaurus musim depan.

Malah, ketua jurulatih pasukan, Mehmed Durakovic turut diarahkan untuk meninjau bakat pemain muda di temasya tersebut untuk memilih pemain import kuota Asean.

Dengan penolakan tersebut, Kaung Mann yang beraksi bersama Ayeyawady United pada musim 2019 kini sedang mempertimbangkan untuk menyertai sebuah kelab daripada divisyen 1 Thailand bergantung kepada jumlah gaji yang ditawarkan.

“Saya berharap dapat menerima pakej bayaran yang tinggi berbanding dengan apa yang ditawarkan daripada kelab lama,” ujarnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia untuk musim 2020 melalui pautan dibawah.

Liga Malaysia 2020: Kurniawan Dwi Yulianto Sah Jurulatih Baharu Sabah

Liridon Krasniqi Perkuatkan Jentera Tengah Harimau Selatan Musim Depan

Syamim Yahya Dakwa Kenyataan Terengganu FC Bercanggah Dan Tidak Tepat

Sumber