Revolusi bola sepak negara Jepun nampaknya hampir pasti mulai memasuki fasa seterusnya dimana sudah banyak kelab-kelab bola sepak eropah memberikan fokus kepada liga bola sepak remaja bawah 18 tahun dengan lebih serius.

Terkini, penyerang berusia 17 tahun iaitu Fukuda Shio dari Sekolah Tinggi Kamimura Gakuen di Kagoshima prefektur telah dipanggil untuk menjalani sesi percubaan bersama kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich.

Menurut beberapa maklumat dari media sukan Jepun, aksi Fukuda Shio ini sudah diperhatikan sejak beliau mula beraksi dengan skuad bawah 18 tahun musim lalu selepas ‘naik pangkat’ dari skuad bawah 15 tahun sekolah yang sama.

Dapat diperhatikan dengan jelas bahawa sudah ada beberapa pemain remaja Jepun yang sudah ‘langkah bendul’ kelab-kelab profesional J.League dan terus menyertai kelab-kelab di eropah yang mana perkara ini amat-amat jarang berlaku sebelumnya.

Berkemungkinan juga, ia adalah kesan dari eksport pemain yang konsisten setiap tahun menjadikan lebih ramai pencari bakat memasang mata dalam kejohanan peringkat remaja dinegara matahari terbit itu.

Fukuda Shio, telah terpilih sebagai salah seorang penyerang dalam skuad Best of All Japan High School 2021 selain tersenarai dalam kem latihan skuad bawah 18 kebangsaan Jepun tahun lalu.

Paling memikat perhatian adalah Fukuda Shio – ketika itu dalam tingkatan 4, telah berjaya muncul selaku penjaring terbanyak kejohanan bola sepak antara sekolah-sekolah Jepun (Inter-High) bersama-sama dengan Matsuki Kiryu dari Sekolah Tinggi Aomori Yamada pada 2021.

Ketika Matsuki Kiryu akan menyarung jersi FC Tokyo tahun ini, Fukuda Shio mula mengatur langkah awal ke eropah.

Sistem, struktur, format, halatuju, visi dan misi yang selari pada semua peringkat adalah punca kepada kemajuan industri bola sepak Jepun hari ini.