Perlawanan pusingan kedua Piala FA 2019 akan disambung hari ini dimana 20 pasukan akan berentap bagi mencari tempat ke pusingan seterusnya. Di sini, perlawanan di pusingan awal untuk kejohanan seperti Piala FA menjadi pentas yang sesuai untuk pasukan khususnya pasukan besar menurunkan pemain simpanan dan pemain muda dalam kesebelasan utama.

Semalam, perlawanan diantara Terengganu FC menentang kelab yang beraksi di Liga M3, Ultimate FC mendapat kritikan daripada peminat setelah TFC menurunkan tiga pemain import mereka dalam kesebelasan utama iaitu Igor Zonjic, Thierry Chanta-Bin dan Sanjar Shaakmedov.

Selain menurunkan pemain import, naib juara Piala Malaysia 2018 itu turut menurunkan beberapa pemain utama seperti Kamal Azizi, Nasrullah Hanif Johan dan Adib Aizuddin.

Sesetengah peminat setia Terengganu FC mempersoalkan tindakan ketua jurulatih, Irfan Bakti yang memutuskan untuk tidak menurunkan pemain yang selalu memanaskan bangku simpanan dan juga pemain muda dalam kesebelasan utama pada perlawanan tersebut.

Penggunaan pemain simpanan dan juga pemain muda di perlawanan peringkat awal bagi kejohanan yang menggunakan format kalah mati boleh membantu pasukan dengan mengelakkan pemain utama daripada menjalani kecederaan sehingga menjejaskan tumpuan mereka dalam saingan yang lebih besar seperti Liga Super.

Khususnya pasukan yang sedang mencabar kejuaraan ataupun sedang bergelut di zon penyingkiran. Kecederaan pemain utama hanya merugikan pasukan itu sendiri.

Selain itu, pemain simpanan dan pemain muda juga boleh mendapatkan minit bermain serta mendapat pendedahan memandangkan sedikit sukar untuk mereka beraksi dalam kesebelasan utama secara kerap kerana didominasi oleh pemain import dan juga pemain utama.

Hari ini, tiga pasukan Liga Super akan bertemu kelab yang beraksi dalam saingan Liga M3 dimana Pahang akan turun menentang PIB FC, PKNP FC akan menentang Batu Dua FC dan Kuala Lumpur akan berdepan dengan pasukan yang dijuluki “Budak Flat” iaitu Tun Razak FC.

Ketiga-tiga pasukan yang disebutkan di atas boleh melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dan memberikan peluang kepada pemain yang jarang beraksi serta pemain muda untuk membawa cabaran pasukan.