Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa memberikan saranan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq supaya memecat Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim dengan segera.

Beliau juga turut menyatakan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seharusnya mengambil keputusan drastik seperti dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memecatnya sejurus tewas 0-2 di tangan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan A Khamis lalu.

“Apa (KBS) tunggu lagi, kalau ada maruah beliau akan pergi (letak jawatan) tapi dalam konteks ini beliau tak ada maruah dan menteri mesti berani pecat dia,” kata Sadek yang berpandangan Teong Kim gagal menguruskan aspek emosi di kalangan pemainnya.

“Dalam Sains Sukan, elemen seperti emosi, kerohanian dan intelektual sangat berhubung kait dengan sukan, dan beliau yang sudah bertahun di Jerman sepatutnya menerapkan elemen ini kepada anak buahnya.

“Kalau dilihat daripada segi permainan, kemahiran dan taktikal pemain B-16 amat baik sekali. Cuma mereka tidak berjaya mengawal emosi ketika bermain dan sebab itu kita dapat lihat pada perlawanan pertama penjaga gol menerima kad merah, begitu juga penjaring terbanyak pasukan turut menerima nasib sama pada aksi kedua.

“Jika aspek emosi ini diajar dengan betul, saya percaya mereka tidak akan melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika perlawanan. Ini kelemahan yang masih wujud dan saya fikir beliau jelas gagal menerapkan falsafah bola sepak moden yang turut menekankan aspek ‘mengurangkan kesilapan’ dalam permainan,” katanya kepada Sukan NSTP, semalam.

“Beliau adalah contoh kegagalan sebenar yang tak mahu mengaku bahawa itu adalah kegagalan. KBS boleh menggaji calon lain untuk meneruskan perjalanan NFDP dan membolehkan menerima ilmu baharu serta hala tuju baharu,”

Sumber