Ianya bukan pasukan Jerman yang gah seperti beberapa tahun yang lalu ketika menjadi juara dunia. Mereka bergelut dengan kreativiti dan tidak mampu bertahan dengan lebih baik.

Joachim Low sekali lagi hilang magis beliau dalam kejohanan major. Sedangkan beberapa tahun lalu, Low sempat menjadikan Piala Konfederasi sebagai medan uji bakat untuk beberapa pemain muda, kerana Jerman terlalu banyak bintang yang hebat di dalam pasukan.

Selepas itu, kisah Jerman tidak sama lagi. Mereka dimalukan oleh Korea Selatan dalam aksi Piala Dunia 2018 dan pulang awal.

Kem Jerman kemudian bergolak sesama mereka. Joachim Low menyingkirkan Thomas Muller, Mats Hummel dan Jerome Boateng diarahkan bersara.

Ketiga tiga pemain mengkritik Low yang ketika itu menyatakan, revolusi harus dibuat. Tetapi menjelang Euro 2020, Muller dan Hummel dipanggil semula.

Namun begitu, Jerman terus hilang taringnya. Berdepan dengan England di Wembley mereka tidak ada idea sekali lagi. Tidak ada pemain yang lasak untuk menanduk bola ke gawang lawan seperti yang pernah kita lihat pada era Bierhoff, Klose dan beberapa nama lagi.

Jerman mencipta peluang lebih baik dari England pada separuh masa pertama – dalam perlawanan yang kurang ciptaan peluang pada awalnya. Timo Werner gagal menyempurnakan peluang. Percubaan Kai Havertz pula diselamatkan Jordan Pickford pada pertengahan separuh masa kedua.

England pada separuh masa kedua mendapat 2 gol. Raheem Sterling dan Kane menjaringkan gol daripada ciptaan peluang yang hampir sama, dari sebelah kiri dengan hantaran rendah dan gol.

Selepas tamat perlawanan, Low berkata: “Ini kekecewaan yang besar untuk kami. Kepercayaan dalam diri ada dalam pasukan ini. Malangnya kita tidak memanfaatkan peluang yang kita ada dan akhirnya kita tersingkir.”

“Kami bekerja keras sepanjang 4 minggu terakhir ini. Para pemain menyesuaikan diri mereka dengan baik sekali.”

Joachim Low menyatakan ada 4 masalah utama Jerman. Pertamanya, gagal memanfaatkan peluang yang; kedua adalah tidak kreatif; ketiga adalah masalah stamina (keletihan) dan keempat pula adalah kurangnya kepintaran.

Keputusan Southgate untuk memasukkan Jack Grealish menggantikan Bukayo Saka pada minit ke-69 terbukti menjadi pengubah kepada permainan ini. Di mana kapten Aston Villa itu terlibat dalam gol Sterling pada minit ke-75.

Tidak lama selepas gol pembukaan itu, Thomas Muller gagal menyudahkan peluang 1v1, selepas mereka memanfaatkan kesilapan dari Sterling dan melepasi John Stones dan Harry Maguire.

Muller melakukan percubaan ke tiang jauh [far post]. Bagi Low, itu adalah saat yang menentukan perlawanan ini yang benar-benar boleh mengubah corak;

“Biasanya, Thomas akan menjaringkan gol dengan cara begitu. Sukar untuk membincangkan semua perkara sebaik sahaja perlawanan. Pada masa ini, semua pemain sunyi dan bersedih. Semua orang sangat kecewa. ”

Seperti juga keputusan seri 2-2 menentang Hungary, dan untuk aksi menentang Perancis, Low merasakan bahawa pasukannya tidak memiliki kreativiti yang tepat dalam serangan.

Low merasakan bahawa pertahanan England adalah pasukan yang lebih sukar  dihancurkan. Low juga berterus terang bahawa pasukannya ada isu dengan stamina berbanding dengan lawan mereka yang lebih bertenaga.

“Kami tidak memiliki kekuatan menembusi blok rendah mereka di bahagian depan. Kami masih mempunyai dua peluang besar [peluang keemasan]. Kami sangat kecewa. [Serge] Gnabry dan [Leroy] Sané tidak menunjukkan apa yang boleh mereka lakukan.”

“Mereka sebenarnya pemain yang bagus,” tambah Low lagi.

Low membawa masuk Jamal Musiala pada minit ke-92, dan tidak banyak yang dapat dilakukan pemain berusia 18 tahun itu untuk mencuba memberi impak seperti yang dilakukannya ketika seri menentang Hungary.

Low menegaskan bahawa keputusan untuk menunggu begitu lama untuk membawanya adalah kerana kecergasan pemain itu yang tidak berada di tahap optimum.

Namun Low cuba senjata terakhirnya itu dengan harapan Jamal akan menghadirkan magis sepertimana aksi berdepan Hungary ketika dia menjadi arkitek kepada gol Goretzka.

“Kami kekurangan kepandaian, pasukan ini masih perlu berkembang. Kami telah membina semangat berpasukan yang baik. Tetapi stamina kami hilang.”

Baca juga artikel

Euro 2020: England Rintis Jalan Pulang Buat Jerman

Euro 2020: Kegagalan Mbappe Paksa Perancis Ucapkan Selamat Tinggal

Euro 2020: Dovbyk Muncul Wira Ukraine Hancurkan Harapan Sweden