Malang menimpa skuad Terengganu FC (TFC), apabila penjaga gol utama iaitu Rahadiazli Rahalim disahkan telah mengalami kecederaan pada bahagian lutut semasa menjalani perlawanan latihan dalaman bersama skuad TFC Rabu lepas.

Menurut kenyataan rasmi di laman web TFC, pemain yang berusia 19 tahun itu disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang menjadi mimpi ngeri bagi semua pemain bola sepak profesional.

Rahadiazli sebelum ini sempat menjalani latihan dengan skuad Harimau Malaya di Johor pada minggu lepas sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan datang.

“Dalam satu sesi perlawanan latihan dalaman skuad TFC Rabu lepas telah mengundang tragedi yang tidak diingini pasukan apabila Rahadiazli telah disahkan mengalami ACL.

“Rahadiazli yang melayangkan badan dalam satu percubaan melakukan satu tempisan keluar bola cubaan rakan sepasukan tidak berjaya melakukan pendaratan dengan baik dan hentakan pada lutut telah menyebabkan beliau kesakitan dan diusung keluar padang,” kata kenyataan rasmi TFC.

a4-768×433
Detik-detik kecederaan Rahadiazli yang sempat dirakam oleh jurukamera TFC.

Keadaan ini sememangnya merisaukan pengendali TFC, Nafuzi Zain kerana beliau dan pasukan telah melakukan persediaan bagi perlawanan menentang PJ City FC pada Jumaat ini.

Penjaga gol tersebut mungkin terpaksa berehat panjang untuk menerima rawatan dan ianya bukan sesuatu yang positif untuk diterima oleh semua peminat bola sepak Terengganu.

Penjaga gol Terengganu FC II, Suhaimi Husin dijangka dinaikkan ke skuad utama untuk menggantikan Rahadiazli buat sementara waktu memandangkan pemain ini sudah mempunyai cukup minit bermain serta pengalaman beraksi di pentas Liga Super dan Liga Premier.

Rahadiazli merupakan pemain ketiga TFC yang mengalami kecederaan ACL selepas mereka turut kehilangan pemain import, Petrus Shitembi dan pemain pertahanan, Azalinullah Alias.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Kerteh Sport City Bakal Beri Pengalaman Baharu Kepada Peminat Bola Sepak Tempatan

Faisal Halim Waspada Ancam Bakal Diberikan PJ City FC

Logo Dan Jenama Harimau Malaya Rupanya Sudah Didaftarkan Dengan MyIPO, FAM Adalah ‘Trademark Holder’

Tiada Jualan Tiket Untuk Perlawanan JDT Menentang Melaka United