Isu dalaman yang melibatkan pasukan Terengganu FC (TFC) terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sejak kelmarin apabila ketua jurulatih, Nafuzi Zain membuat pendedahan terhadap sikap tidak profesional pengurusan.

Walaupun berjaya membawa pasukannya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia, namun tanpa berselindung mengakui kecewa dengan pihak pengurusan yang bagaikan tidak menghargai pengorbanannya selama ini selepas lebih tiga musim bersama skuad Penyu.

Menerusi laporan dalam Berita Harian, Nafuzi mendakwa beliau hanya menerima surat tawaran lanjutan kontrak daripada ‘kitman’ pasukan di padang secara ala kadar dan bukannya di pejabat sekali gus memperlihatkan khidmatnya bagaikan tidak dihargai.

Bagaimanapun, Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dalam satu kenyataan rasmi menafikan tidak menghargai jurulatih tersebut dan turut menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.

“Berdasarkan isu lambat menawarkan kontrak profesional kepada ketua jurulatih tersebut, merujuk kepada Perkara 9 : Melanjutkan tempoh kontrak, 9.1 : Kelab hendaklah dalam masa 30 Hari sebelum tamat kontrak ini memberi notis kepada pegawai untuk melanjutkan kontrak.

“Pihak kelab juga mengesahkan telahpun mengutuskan surat tawaran pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 berdasarkan kemampuan kelab yang telah disampaikan melalui Pembantu Operasi Unit Teknikal TFCSB kepada pegawai sebelum tamatnya kontrak pegawai pada 30 November 2022.

“9.3 Pegawai hendaklah menyatakan kepada kelab menerima/menolak atau meletakkan tarikh perundingan terma-terma kontrak dalam masa 14 hari. Pihak majikan telahpun mematuhi terma dalam kontrak ini dengan menawarkan kontrak pada pegawai dalam tempoh yang ditetapkan dalam perkara 9.

“Perkara ini menjawab kepada persoalan menuduh pihak pengurusan melengah-lengahkan penawaran lanjutan kontrak kepada pegawai. Namun demikian, dalam tempoh tersebut pihak pengurusan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pegawai sehinggalah beliau mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media,” kata Ab Rasid bin Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif TFC.

TFCSB turut mendedahkan Nafuzi telah pun menandatangani perjanjian dengan pasukan lain yang beraksi dalam Liga Super sejak bulan Ogos lalu.

“Pihak pengurusan merasa terkilan apabila dituduh tidak profesional dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan lambat menawarkan lanjutan kontrak kepada pegawai sedangkan pihak pengurusan telah mendapati pegawai tersebut telah berunding dan menandatangani perjanjian lebih awal bersama salah sebuah pasukan di Liga Super pada bulan Ogos 2022 lagi, iaitu sebelum kenyataan pertama beliau semasa sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Penang FC berkaitan dengan menyatakan tahun ini kemungkinan besar tahun terakhirnya bersama pasukan ini.

“Keadaan ini telah melanggar terma dan syarat kontrak kelab dimana pegawai tidak boleh menandatangani perjanjian dengan mana-mana pasukan selagi mana beliau masih terikat dengan kontrak kelab.

“Tindakan kurang profesional pegawai dalam menentukan halatuju beliau dan seakan-akan ingin mencalarkan imej pengurusan kelab dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan meletakkan kesalahan kepada pengurusan sebelum beliau meninggalkan kelab ini adalah tidak wajar.

“Sebagai seorang pegawai yang telah menabur khidmat bersama pasukan bolasepak di negeri Terengganu sejak 7 tahun lepas, ianya sesuatu yang amat mendukacitakan apabila beliau cuba mengakhirinya dengan cara seperti ini.

“Pihak TFCSB akan meneliti tindakan lanjut yang akan diambil kepada pihak pegawai di atas segala kenyataan dan perkara yang telah beliau lakukan kerana ianya telahpun mencalarkan imej kelab ini secara nyata,” katanya Ab Rasid.