Pengurus Atalanta, Gian Piero Gasperini mengakui dia merindu aksi Cristiano Ronaldo di Serie A.

Pengurus yang sedang meningkat naik namanya itu, malah menyatakan bahawa beliau sedih apabila membaca berita bahawa Ronaldo meninggalkan Juventus dan pergi ke Man United.

Ronaldo bermain untuk Juventus selama tiga musim. Bintang Portugal itu berjaya memenangi dua gelaran Serie A ketika bermain di Itali.

Namun Ronaldo kemudian memutuskan untuk meninggalkan Juventus pada musim ini. Lalu Man United datang menyambar Ronaldo yang ketika itu dikaitkan dengan Manchester City.

Ronaldo kembali semula ke Itali minggu ini untuk beraksi dalam aksi UCL berdepan dengan Atalanta.

Gasperini menegaskan bahawa, Ronaldo merupakan bintang yang beliau sangat suka lihat di atas padang kerana kualiti dan reputasi pemain itu yang luar biasa.

Selain itu, Gasperini menganggap Serie A telah kehilangan pemain yang luar biasa.

Bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan, Gasperini berkata: “Dia seorang pemain bola sepak yang luar biasa, dan semua orang mengenalinya,” kata Gasperini.

“Dia bermain dengan sangat baik di Manchester United dan dia banyak menyumbang untuk Serie A.”

“Secara peribadi, saya sedih melihat dia kembali ke England kerana saya sentiasa berharap untuk berdepan pemain terbaik di Itali.”

Gasperini sedar, kekalahan di Old Trafford sebelum ini membuatkan mereka sekarang perlu menang ke atas Man United untuk membantu mereka mara ke pusingan seterusnya.

Atalanta dikenali dengan gaya permainan high pressing dan Man United pastinya sedar bahawa mereka akan berdepan dengan pasukan yang laju.

Selain itu, nasib Ole Gunnar Solskjaer juga bergantung kepada perlawanan ini dan aksi berdepan Man City selepas ini.

Ole sebelum ini sudah melepasi cabaran Spurs dalam aksi Liga Perdana Inggeris dalam usahanya untuk mempertahankan kedudukannya di United.