Presiden kelab Thai League 1, Port FC iaitu Nualphan Lamsam atau yang lebih dikenali dengan panggilan Madame Pang berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan.

Port menjadi salah satu pasukan yang berbelanja besar musim ini dimana mereka membawa masuk pemain yang berpengalaman dalam skuad kebangsaan Thailand seperti Adisak Kraisorn dan Adison Promrak selain bekas penyerang berbisa Muangthong United, Heberty Fernandes.

Akan tetapi, Madame Pang berpendapat barisan serangan perlu ditajamkan lagi dan Diogo yang pernah beraksi di Thailand bersama Buriram United dilihat sebagai calon yang sesuai.

“Diogo merupakan seorang pemain yang mempunyai kualiti. Tetapi kita perlu menunggu kerana kontrak beliau bersama JDT masih belum tamat. Penting juga untuk tahu berapa banyak pasukan yang turut mendapatkan khidmat beliau,” kata Madame Pang.

Diogo sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan yang turut diperkuatkan oleh pemain Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha iaitu BG Pathum United. Namun BG menafikan perkara tersebut kerana merasakan barisan pemain yang dimiliki ketika ini seimbang.

Port FC
Sumber Gambar: Goal.com

Ketika beraksi bersama Buriram United dari tahun 2015 hingga 2016, secara keseluruhan Diogo menjaringkan 132 gol dalam 159 dan memenangi 11 kejuaraan liga domestik seperti saingan Thai League 1 dan Thai FA Cup.

Catatan ini sekaligus membuatkan Port FC mahu mendapatkan khidmat Diogo kerana selain kemampuan menjaringkan gol, pemain dari Brazil itu turut mempunyai pengalaman luas beraksi di Thailand.

Baca artikel lain mengenai saingan Thai League 1 di sini:

BG Pathum United Nafi Mahu Dapatkan Khidmat Diogo Luis Santo

Port FC Terus Kumpulkan Pemain Bintang, Tandatangani Adisorn Promrak

Media Thailand Anggap BG Pathum United Punyai Barisan Serangan Terbaik Di Thai League 1