Pengendali Police Tero FC, Rangsan Viwatchaichok menegaskan beliau lebih memberikan fokus kepada usaha untuk kekal dalam saingan Thai League 1 musim hadapan berbanding melayakkan diri ke saingan AFC Champions League (ACL).

Setelah mengharungi empat perlawanan Thai League 1 sebelum dihentikan ekoran penularan wabak Coronavirus (COVID-19), Police berjaya meraih tiga kemenangan, satu kalah dan ketika ini mereka menduduki tangga ke-5.

Tero
Sumber Gambar: Police Tero FC

Rangsan menegaskan meskipun pasukan berada di kedudukan yang dapat melayakkan pasukan ke Asia, namun beliau masih lagi berpegang kepada matlamat pada awal musim iaitu kekal di divisyen pertama.

“Secara peribadi saya tidak terlalu memberi perhatian sama ada pasukan akan berada di kedudukan empat pasukan teratas. Kami merupakan pasukan kecil dan sasaran kami ialah untuk kekal.

“Jika dapat kekal di Thai League 1, maka semua pihak dan pemain akan berpuas hati. Semua pemain kini sudah sedia untuk beraksi dan yakin dapat membantu pasukan,” kata Rangsan.

Tero
Dominic Tan antara pemain Malaysia yang beraksi di Thailand. Sumber Gambar: Twitter Harimau Abroad

Sebelum ini, media Thailand melaporkan Police Tero meletakkan sasaran untuk layak ke saingan AFC Champions League (ACL) setelah menampilkan persembahan terbaik pada empat perlawanan pertama.

Namun, naib juara Thai League 2 yang juga diperkuat oleh pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dominic Tan itu nyata mempunyai sasaran lain.

Baca artikel lain mengenai Police Tero FC di sini:

Police Tero Letak Sasaran Beraksi Di AFC Champions League Musim Hadapan

Kelab Dominic Tan, Police Tero Nafi Tidak Bayar Gaji Pemain

Police Tero FC Tunggu Keputusan Ujian Staf Pertama Berisiko Tinggi Positif Wabak COVID-19