Berpengalaman mengendalikan barisan pemain berkelas dunia menjadi salah satu daripada kriteria utama yang diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA) dalam memilih pengurus baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Roberto Martinez.

Jodoh Belgium dan Martinez berakhir pada 2 Disember lalu berikutan kegagalan The Red Devils untuk melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 selepas hanya berada di kedudukan ketiga dibelakang Maghribi dan Croatia.

Ia jelas menjadi mimpi buruk buat skuad yang menduduki tangga kedua ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apatah lagi mereka merupakan semi finalis edisi lalu.

Susulan dengan itu, RBFA sudah membuka permohonan kepada mana-mana pengurus berkelayakan di seluruh dunia untuk mengisi jawatan kerusi panas tersebut.

“Dengan penerbitan iklan jawatan kosong ini, kami melancarkan secara rasmi pada hari ini proses pemilihan jurulatih pasukan kebangsaan yang baharu.”

“Walaupun selepas tersingkir awal dalam saingan Piala Dunia di Qatar, pihak RBFA tetap bercita-cita tinggi untuk menghadapi masa hadapan. Semua elemen telah disediakan untuk mengekalkan kecemerlangan pada masa hadapan.”

“Semua itu terpulang kepada jurulatih baharu skuad kebangsaan untuk bekerja dengan apa yang ada dan membawa kami kepada kejayaan baharu,” menurut kenyataan dikeluarkan di laman sesawang rasmi RBFA.

“RBFA sedang mencari seorang jurulatih skuad kebangsaan sepenuh masa yang tahu bagaimana cara untuk mencapai kemenangan. Jurulatih baharu perlu sangat bercita-cita tinggi dan mempunyai pengalaman antarabangsa di tahap tertinggi, pengetahuan taktikal bola sepak dan memiliki kemahiran peribadi yang betul.”

“Dia adalah orang yang berjaya dengan pengalaman untuk menguruskan barisan pemain berkelas dunia. Dia tahu bagaimana untuk memberikan fokus dalam mewujudkan kumpulan yang rapat dan dapat mengintegrasikan pemain muda.”

“Persatuan juga sedang menjadi pakar taktikal yang menyokong pilihannya dengan data, teknologi dan paramater objektif serta menggunakan kepakaran dan struktur sukan RBFA.”

Dengan tarikh akhir permohonan telah ditetapkan sebelum 10 Januari 2023, ia sekali gus memberi makna jelas bahawa Belgium tidak akan menerima pengendali baharu dalam tempoh terdekat ini.

Sumber