Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pemain tengah, Mohd Alif Samsudin yang menjadi tonggak terbaharu UiTM FC sedia mencurahkan pengalaman bersama 12 tahunnya di Liga Malaysia bagi membantu ‘ The Lions Troop’ menghidupkan kembali misi kekal dalam pentas Liga Super.

Jelas pemain berusia 32 tahun berkenaan, dia tidak melihat banyak kelemahan ketara dimiliki UiTM kecuali aspek pengalaman pemain muda tempatan menjadi sedikit tembok pemisah untuk bersaing dengan pasukan-pasukan ternama.

Perkara itu diperhatikan semasa dia sendiri turun beraksi membantu UiTM meraih keputusan seri 1-1 bertemu Kuala Lumpur City di Stadium UiTM, 8 Mei lalu yang menyaksikan banyak perubahan ketara pada skuad kendalian Frank Bernhardt.

“ Saya dipanggil di sini oleh staf kejurulatihan untuk membantu pemain-pemain muda setelah mereka melihat beberapa kelemahan ketara terutama di bahagian tengah.

“ Sebenarnya pemain-pemain muda dalam pasukan ini semuanya tiada masalah cuma apa yang saya dapati mereka tiada pembimbing yang boleh beri arahan di atas padang.

“ Salah satu contoh ialah kedudukan posisi mereka semasa di atas padang, di mana tempat yang sesuai untuk pemain tempatkan diri mereka bagi menutup ruang pihak lawan bagi lakukan hantaran.

“ Aspek ini yang diharapkan oleh pihak kejurulatihan dan buat masa ini selepas perlawanan bertemu dengan Kuala Lumpur tempoh hari, nampak ada sedikit perubahan yang saya boleh lakukan di sini bagi membantu pasukan, ” katanya.

Alif merupakan satu nama besar buat kalangan peminat Negeri Sembilan di era kegemilangan skuad Hoben Jang Hoben pada musim 2009-11 dengan menjadi antara watak penting di dalam pasukan.

Dikenali sebagai pemain yang mempunyai corak permainan keras selaku pemain tengah bertahan, Alif telah beraksi bersama Negeri Sembilan sehingga musim 2014 sebelum berhijrah ke beberapa pasukan lain seperti Sime Darby, Melaka, Felcra dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Alif yang telah diberi jolokan ‘Elneny UiTM’ ekoran mempunyai gaya rambut yang persis dengan pemain tengah Arsenal, Mohamed Elneny, mengakui bersyukur kerana masih diberi ruang untuk meneruskan kariernya selaku pemain bola sepak profesional.

“ Selepas kontrak tidak disambung oleh Kuala Lumpur, sukar juga saya mendapatkan pasukan baharu yang menyebabkan dekat lima bulan saya tidak bermain bola sepak.

“ Mujur UiTM masih mempercayai kemampuan saya walaupun pada satu ketika sudah terfikir untuk bersara dan ini peluang buat saya memperagakan sesuatu selain membuktikan pemain lama ada kelebihannya tersendiri.

“ Saya hanya berlatih dua hari tempoh hari sebelum diturunkan bertemu Kuala Lumpur, namun lega semuanya berjalan dengan baik malah tidak ditimpa sebarang kecederaan ekoran sudah lama tidak bermain secara kompetitif, ” tambah Alif Samsudin lagi.

Selain Alif, UiTM turut mendapatkan seorang lagi bekas pemain Kuala Lumpur Mohamad Hisyamudin Mohamad Sha’ari selain meminjam khidmat Zamir Selamat dan Sean Gan Giannelli dari KL City.

UiTM yang kini di tangga terakhir Liga Super dengan memungut dua mata juga difahamkan bakal menambah dua lagi tonggak import selepas kehadiran Ousmane Fane dan Kwon Yong Hyun.

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group