Seorang pengadil Vietnam disahkan meninggal dunia selepas beberapa hari rebah selepas menamatkan ujian kecergasan pengadil di Hanoi, Vietnam.

Menurut laporan dari Tuoi Tre News, Duong Ngoc Tan berusia 37 tahun, meninggal dunia pada pagi Sabtu, disebabkan oleh komplikasi buah pinggang. Tan rebah sejurus menamatkan ujian kecergasan yang diadakan oleh VFF pada hari Isnin lalu untuk satu perlawanan liga divisyen 2 Vietnam.

Ujian itu telah dijalankan di Stadium Hang Day, Hanoi dan merangkumi ujian kecergasan seperti ‘endurance’ dan ‘speed test’ yang secara keseluruhannya bersamaan dengan jarak 10 pusingan trek larian 400 meter.

duong-ngoc-tan-yen-bai-1523068919-1523080618

Doktor di Hospital St. Paul, 500 meter dari stadium, yang merawat Tan selepas dihantar kesana memberitahu, beliau mengesan terdapat sesuatu yang tidak normal pada buah pinggang Tan.

Selepas itu, Tan dihantar ke sebuah institut rawatan buah pinggang dan ditempatkan dalam unit rawatan rapi (ICU) sehingga kematiannya semalam.

Ujian Kesihatan Biasa Tiada Rekod Penyakit Buah Pinggan

Menurut pegawai VFF yang bertugas semasa ujian tersebut diadakan, Nguyen Van Mui, semua pengadil wajib menghantar laporan ujian kesihatan mereka yang terbaru sebelum dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Hanya mereka yang disahkan sihat sahaja akan mengambil bahagian.

Namun, dalam laporan kesihatan yang diserahkan oleh Tan, ia tidak termasuk rekod berkaitan buah pinggang dan pihak VFF tidak sedar berkenaan perkara itu.

Kematian Tan ini juga merupakan kes pertama pengadil meninggal dunia selepas menamatkan ujian kecergasan pengadil dalam sejarah bola sepak Vietnam.

 

Sumber