Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan Alireza Faghani dipilih sebagai pengadil utama untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 diantara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari selasa ini (19 November 2019).

Turut menyertai pengadil dari Iran itu ialah Mohammadreza Mansouri, Mohammadreza Abolfazli dan Mo’ud Bonyadifar menurut laporan daripada mehrnews.com.

Faghani yang dilantik sebagai pengadil FIFA sejak tahun 2008 bukan calang-calang orangnya kerana mempunyai pengalaman luas mengendalikan beberapa perlawanan berprestij di peringkat antarabangsa termasuk perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2018 di antara England menentang Belgium.

Beliau juga pernah mengendalikan perlawanan akhir Piala Asia 2015 di antara Korea Selatan menentang Australia dan perlawanan akhir kelab Piala Dunia 2015 di antara Barcelona menentang River Plate.

Alireza Faghani. (Sumber: Twitter/@IranWeirEnglish)
Alireza Faghani. (Sumber: Twitter/@IranWeirEnglish)

Malah, tahun lepas beliau mengadili perlawanan akhir Piala AFF di antara Vietnam menentang Malaysia di Stadium MyDinh, Hanoi dimana skuad Harimau Malaya tewas tipis 0-1 kepada skuad kendalian Park Hang Seo itu.

Berkat kecemerlangannya dalam mengendalikan beberapa perlawanan bertaraf dunia, Faghani dinobatkan sebagai pengadil terbaik AFC pada tahun 2018. Beliau kini berhijrah ke Australia dan merupakan pengadil tetap dalam saingan A-League musim ini.

Perlawanan ‘derby nusantara’ diantara Malaysia menentang Indonesia sentiasa berlangsung dalam suasana yang penuh kontroversi sambil disaksikan oleh jutaan penonton. Oleh sebab itu, ia dianggap sebagai perlawanan berprofail tinggi yang perlu dikendalikan oleh pengadil terbaik.

Lagi artikel menarik mengenai pengadil yang mungkin anda terlepas pandang.

2 Pengadil Elit AFC Dari Malaysia Terpilih Mengendalikan Perlawanan Liga Vietnam

4 Pengadil Jepun Akan Mengendalikan Perlawanan Malaysia Bertemu UAE

Pengadil Kontroversi Final Piala Malaysia 2018 Digantung Tugas