Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh mendedahkan kepada Bernama, Malaysia terlepas peluang mencalonkan salah seorang pengadil terbaiknya untuk bertugas di Piala Dunia 2022 kerana tidak memiliki lesen Video Bantuan Pengadil (VAR).

Pengadil tempatan bukan sahaja tidak layak mengadili perlawanan Piala Dunia tetapi turut terlepas peluang bertugas di Sukan Olimpik dan saingan peringkat Asia seperti AFC Champions League (ACL),

Menurut Subkhiddin, Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menetapkan syarat lebih ketat iaitu setiap pengadil wajib mempunyai pengalaman berkaitan VAR kerana teknologi itu sentiasa digunakan dalam setiap perlawanan peringkat antarabangsa.

“Untuk masa depan, kita ada beberapa lagi calon yang dirasakan berkemampuan (mengadili Piala Dunia) tetapi masalahnya mereka juga tiada lesen VAR.

“FIFA telah keluarkan arahan tidak rasmi dimana mereka tidak akan berikan lesen kepada negara yang tidak menggunakan VAR. Maksudnya pengadil kita tak boleh dapatkan lesen di luar negara kerana negara sendiri tiada VAR.

“Kalau nak lesen, kita kena mulakan (VAR) di negara sendiri,” jelas Subkhiddin yang juga merupakan Tenaga Pengajar Teknikal FIFA kepada Bernama.

Beberapa hari lepas, CEO Malaysia Football League (MFL), Stuart Ramalingam mengesahkan tiada penggunaan VAR dalam saingan Liga Malaysia musim depan walaupun negara jiran sudah mula mempraktikkan teknologi tersebut.

Kebanyakan stadium di Malaysia masih tiada kemudahan untuk pemasangan VAR sekaligus merencatkan usaha MFL untuk memperbaiki mutu pengadilan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata pihaknya telah berbincang dengan penyedia VAR untuk mendapatkan beberapa input termasuk kos pemasangannya sebelum digunakan dalam Liga Malaysia.

“Jawatankuasa Pengadil memang ada taklimat daripada penyedia VAR iaitu dari Hawk-eye dan MediaPro. Perkara itu kini diperingkat untuk dimuktamadkan dari segi kos dan sebagainya.

“Sekarang ini kita mahu ambil input-input terlebih dahulu seperti berapa kosnya, macam mana penggunaannya, kesesuaian lux (lampu limpah) dan stadium. Banyak kriteria perlu diambil kira dan kita kena kaji dulu,” jelas Azman.

Pengadil dari Singapura, Muhammad Taqi Aljaafari satu-satunya wakil dari ASEAN yang dipilih bertugas di Piala Dunia 2022 selepas mendapat manfaatkan daripada penggunaan VAR di negara itu.