Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini telah menerima jemputan daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk menghantar seorang pengadil dan seorang penolong pengadil dari Malaysia bagi mengendalikan dua perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan kebangsaan negara itu, November ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pihaknya telah menamakan Mohd Amirul Izwan Yaacob sebagai pengadil bagi perlawanan antara pasukan Jepun menentang Venezuela di Stadium Panasonic Suita, Osaka pada 19 November ini.

Selain itu, Amirul juga memainkan peranan sebagai pegawai keempat bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 2, Jepun B-22 lwn Colombia B-22 di Stadium EDION Hiroshima pada 17 November 2019.

Seorang lagi pengadil, Mohd Yusri Muhamad pula akan bertindak sebagai penolong pengadil bagi kedua-dua perlawanan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada Kirin Challenge Cup 2019.

Terdahulu, Mohd Amirul (pengadil) dan Mohd Yusri (penolong pengadil 1) serta dua lagi pegawai perlawanan dari Malaysia iaitu Mohamad Mu’azi Zainal Abidin (penolong pengadil 2) dan Razlan Joffri Ali (pegawai keempat) telah dilantik oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengendalikan perlawanan Kumpulan B kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Kuwait menentang Chinese Taipei di Stadium Jaber al-Ahmad, Kuwait City pada 14 November 2019.

Selain itu, satu lagi set pegawai perlawanan dari Malaysia terdiri daripada Muhammad Nazmi Nasaruddin (pengadil), Mohamad Zairul Khalil Tan (penolong pengadil 1), Mohd Arif Shamil Abd Rasid (penolong pengadil 2) dan Suhaizi Shukri (pegawai keempat) turut dilantik oleh FIFA untuk mengendalikan perlawanan Kumpulan F, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Myanmar lwn Mongolia di Stadium Mandalar Thiri, Mandalay pada 19 November 2019.

Pengadil

Menurut Stuart, pelantikan ini menunjukkan bahawa pegawai perlawanan atau pengadil dari Malaysia memiliki tahap atau kualiti bertaraf antarabangsa dan terus mendapat kepercayaan untuk mengendalikan perlawanan di peringkat tertinggi.

“FAM berharap pegawai-pegawai yang terpilih ini dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan terus konsisten dalam tugasan yang diberikan itu, sekali gus ilmu dan manfaat daripadanya dapat digunakan untuk membantu pembangunan pengadil-pengadil di Malaysia,” katanya.

Baca artikel lain mengenai pengadil di sini:

Subkhiddin Puji Tindakan FAM Guna Pengadil Tempatan Kendalikan Final Piala Malaysia

Tiada Pengadil Import Untuk Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2019

Piala Malaysia 2019: FAM Akui Terdapat Kecuaian Pengadil Di Stadium Shah Alam