Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan beberapa pengadil dalam negara bakal menjalani latihan untuk mengendalikan teknologi Video Assistance Referee (VAR) pada tahun ini.

Keputusan ini diambil selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali kelapan bagi penggal 2021-2025 yang dipengerusi oleh presiden badan itu, Datuk Hamidin Mohd Amin yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut FAM, pengadil yang menjalani latihan tahun ini akan ditauliahkan pada tahun 2024 sekaligus layak untuk mengendalikan teknologi tersebut.

“Sejumlah 20 Pengadil dan 10 Penolong Pengadil dari Kategori A dan A1 termasuk semua Pengadil FIFA (6 orang), Penolong Pengadil FIFA (8 orang) dan seorang Penolong Pengadil FIFA (Wanita) telah dipilih untuk Latihan dan ditauliah sebagai pengadil VAR pada tahun 2023.

“Sebagai tambahan seramai 15 pengadil dan penolong pengadil akan turut dipanggil untuk mengikuti Latihan VAR pada tahun ini dan mereka akan ditauliahkan pada tahun 2024.

“Bagi tahun 2023 ini, pelaksanaan VAR lebih tertumpu kepada Latihan Pengadil, VAR Similator, “live match training’, pengiktarafan teknologi VAR dan pengiktirafan stadium yang akan menggunakan VAR,” dipetik dari kenyataan FAM.

Sebelum ini, teknologi VAR dilaporkan menelan kos sekitar RM25 Juta dan kelab perlu membayar sebanyak RM500,000 untuk menggunakan teknologi tersebut.

Liga Bola Sepak Profesional Scotland yang baru saja menggunakan VAR berkata teknologi itu telah menelan belanja setiap kelab sebanyak £120,000 (RM633,567) semusim, dan kos keseluruhan yang ditanggung oleh pengelola liga dianggarkan sebanyak £12 juta (RM65 juta) setiap musim.

Kos ini dianggap mahal walaupun sesebuah liga seperti SPL mempunyai barisan penaja yang mahal kerana ianya secara tidak langsung akan memberikan kesan terhadap perbelanjaan kelab dan pengelola liga.

Selain itu, faktor stadium juga perlu diberikan pertimbangan dimana tidak banyak stadium di Malaysia yang mempunyai kemudahan untuk meletakkan kamera dan juga peralatan komputer yang bakal digunakan.