Tidak ramai peminat bola sepak tempatan yang tahu bahawa pertembungan Liga Super di antara FELDA United menentang Selangor di Stadium Tun Abdul Razak semalam diadili oleh pengadil dari luar negara.

Pengadil tersebut ialah Majed Mohammed Al Shamrani dari Arab Saudi yang mempunyai lencana daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Ia mungkin merupakan percubaan pertama daripada badan pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL) untuk menilai keberkesanan khidmat pengadil import sebelum digunakan untuk perlawanan akhir Piala FA.

Berdasarkan rekod, Majed pernah mengadili beberapa perlawanan dalam Liga Professional Arab Saudi dan perlawanan di peringkat antarabangsa. Kehadiran beliau membuktikan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL sedang bergerak ke arah pengadil profesional bagi meningkatkan mutu pengadilan perlawanan Liga Malaysia.

photo_2019-07-08_09-56-08

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam sebelum ini menjelaskan idea untuk menggunakan khidmat pengadil import sudah lama dicadangkan namun tidak mendapat sokongan penuh selain menerima pelbagai kritikan.

“Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pun sudah lama mahu mengetengahkan penambahbaikan dalam bahagian ini. Jadi, kami sememangnya terbuka dan bersedia bekerjasama dengan FAM dalam usaha meningkatkan kualiti pengadilan,” katanya.

Kelvin cukup optimis kehadiran pengadil import bakal memberikan sedikit kelainan selaras dengan hasrat pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mahu menyaksikan pembaharuan dalam industri pengadilan tempatan dengan memperkenalkan Profesional Match Official Malaysia (PMOM) yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

“Terlalu banyak sangat perbincangan berhubung pengadil import ini, tetapi isu ini, MFL sangat terbuka dan berpendapat perlunya ada pengadil import.

“Jadi, MFL sentiasa mengalu-alukan pengadil import dan mengharap FAM dapat memberikan bantuan sepenuhnya dalam usaha membawa pengadil import,” katanya dalam Berita Harian.

Dalam perlawanan semalam, Selangor berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan FELDA United, 2-1 hasil jaringan daripada Sandro Mendonca dan Ifedayo Omosuyi manakala tuan rumah meraih gol sagu hati hasil sumbangan tonggak import dari Brazil, Jocinei Schad.

Keputusan tersebut turut melonjakkan kedudukan Selangor ke tangga ketiga dengan 31 mata dan FELDA United pula masih bergelut di zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan selepas hanya mengutip 12 mata dalam 18 perlawanan.