Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd mengesahkan khidmat pengadil dari luar negara tidak akan digunakan dalam perlawanan akhir Shopee Piala FA di antara Perak menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid pada minggu lalu yang mempertimbangkan untuk membawa masuk pengadil asing bagi memantapkan lagi sistem pengadilan bola sepak tempatan.

“Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum bersedia. Tidak (pengadil import) untuk perlawanan akhir Piala FA, tetapi mungkin dalam final Piala Malaysia.

“Tetapi dalam masa yang sama, ada usaha daripada unit pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa masuk pengadil luar tetapi bukan untuk final Piala FA kali ini,” katanya dalam Stadium Astro.

Bagaimanapun, MFL mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan keputusan pengadil bagi perlawanan akhir itu masih belum muktamad dan nama yang diumumkan itu hanya pemakluman awal.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM masih lagi berusaha untuk mendapatkan khidmat pengadil import bagi mengadili perlawanan akhir itu nanti.

“Kenyataan Dali itu membuktikan bahawa FAM dan MFL sedang bergerak ke arah pengadil profesional dan penggunaan pengadil import antara perkara yang sedang diusahakan bagi meningkatkan mutu pengadilan perlawanan Liga Malaysia.

“Bukan itu sahaja, MFL sebelum ini sudah menubuhkan Profesional Match Officials Malaysia (PMOM) iaitu satu badan pengadil bebas yang bakal beroperasi sedikit masa lagi,” kata kenyataan yang disiarkan di laman web MFL.

Dalam perkembangan sama, MFL turut memberi jaminan bahawa padang SNBJ dijangka berada pada tahap terbaik.

Ini kerana Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengesahkan tiada sebarang aktiviti sukan diadakan di venue berkenaan sehingga aksi final Shopee Piala FA 2019.

“Padang tidak digunakan oleh mana-mana aktiviti sukan di venue berkenaan sehingga tarikh final Shopee Piala FA 2019.

“Itulah jaminan yang diberikan oleh PSM dan sebelum ini tradisi final Piala FA melihat persiapan untuk perlawanan akhir kebiasaannya satu atau minggu sebelum perlawanan akhir berlangsung.

“Namun kali ini kita ada persiapan hampir sebulan dan MFL berharap perlawanan akhir ini berjalan dengan lancar seperti apa yang dirancangkan,” ujar Shazli Shaik.

Sumber