Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pengadil bola sepak pantai kebangsaan, Suhaimi Mat Hassan akan berlepas ke Moscow, Russia, petang ini bagi memulakan tugas mengadili perlawanan-perlawanan bagi Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021 yang akan berlangsung di sana pada 19 hingga 29 Ogos 2021.

Ini merupakan pentas Piala Dunia Bola Sepak Pantai kali kelima buat Suhaimi yang sebelum ini pernah mengadili empat edisi Piala Dunia Bola Sepak Pantai pada tahun 2011 di Itali, 2013 di Tahiti, 2015 di Portugal dan 2019 di Paraguay.

Malah, pada edisi 2019 itu. beliau juga dipilih untuk bertugas pada aksi final yang menemukan Itali dan Portugal. Suhaimi merupakan salah seorang daripada 4 pengadil dari Asia yang dipilih bertugas di Piala Dunia bola sepak pantai.

5d8d981b-4f98-49b1-981e-3f29d3093d95 (1)
Suhaimi Mat Hassan bertugas bersama pengadil dari Jepun ketika persahabatan antarabangsa pada 2019.

FAM pada pagi tadi telah mengadakan majlis ‘send off’ secara dalam talian yang disertai oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam; kakitangan Unit Pengadil FAM; Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri Terengganu, Azman Sulong serta rakan-rakan Suhaimi yang terdiri daripada pengadil-pengadil kebangsaan dari Terengganu.

Pada majlis ringkas tersebut, Dato’ Sivasundaram telah mengucapkan tahniah kepada Suhaimi sambil memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada beliau supaya dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin sepanjang berada di Moscow nanti dan yakin Suhaimi mampu untuk melakukannya memandangkan beliau sememangnya seorang pengadil yang cukup berpengalaman di pentas bola sepak pantai.

Semoga Suhaimi diberikan kesihatan dan keselamatan sepanjang menjalankan tugas beliau di sana demi membawa nama Malaysia dan pulang ke tanah air dengan selamat selepas berakhirnya tugasan tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Format Baharu Akan Digunakan Dalam Saingan Piala Suzuki AFF 2020

Liga Vietnam Mungkin Ditangguhkan Hingga Tahun 2022, 14 Kelab Berdepan Risiko Bankrap

Bologna Tidak Terburu-Buru Untuk Menjual Takehiro Tomiyasu