Skuad Harimau Malaya yang dianggotai oleh 23 pemain serta barisan jurulatih telah selamat tiba di Chiang Mai hari ini bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan di kejohanan jemputan 48th King’s Cup 2022 bermula pada 22 hingga 25 September 2022.

Malah, kehadiran Harimau Malaya turut disambut mesra oleh para penduduk Chiang Mai yang cukup teruja menanti ketibaan pasukan negara lain di wilayah mereka. Selain Malaysia, kejohanan tersebut turut disertai oleh Tajikistan (ranking 109) dan Trinidad & Tobago (ranking 101).

Ada diantara penduduk di sana sempat bergambar dengan pemain negara dan mengangkat kadboard dengan tulisan ucapan ‘Selamat Datang’ berserta bendera Malaysia.

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di luar ibu kota, Bangkok kerana mereka mahu memberi peluang kepada rakyat di setiap wilayah menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan.

FOTO: FAM

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon telah mengekalkan seramai 16 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 pada kempen kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu.

Lapan pemain baharu yang menyertai skuad kali ini ialah dua penjaga gol Rahadiazli Rahalim dan Kalamullah Al Hafiz, serta Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi, Sharul Nazeem Zulpakar, Brendan Gan, Zhafri Yahya dan Declan Lambert.

Seorang lagi pemain dari luar negara, Dion Cools akan terus terbang ke Thailand menyertai pasukan dan dijangka tiba pada hari esok.

Mengikut jadual, Harimau Malaya akan menentang Thailand pada 22 September pukul 9.30 malam waktu Malaysia. Pemenang perlawanan ini akan bertemu Trinidad & Tobago atau Tajikistan di perlawanan akhir yang berlangsung pada 25 September.

Manakala pasukan yang tewas, akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Semua keputusan perlawanan ini memberi pulangan mata ranking FIFA kerana diiktiraf sebagai Persahabatan Antarabangsa Tier 1.

Selepas 48th King’s Cup 2022, skuad Harimau Malaya akan menghadapi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula 20 Disember ini dengan Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura menjadi lawan dalam saingan Kumpulan B, sebelum beraksi pula pada pentas akhir Piala Asia 2023, tahun hadapan.