Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan tempoh akhir bagi semua pasukan Liga Malaysia yang berstatus ‘FA’ untuk didaftarkan sebagai ‘FC’ pada September ini dilanjutkan sehingga ke tahun hadapan susulan penyebaran wabak pandemik COVID-19.

Menurut laporan daripada Arena Metro, FAM sebelum ini mewajibkan semua pasukan didaftarkan sebagai sebuah syarikat yang dikawal seorang pemilik ataupun dimiliki secara perkongsian yang memiliki saham dalam pasukan sebelum musim 2021.

“Pada 22 Mei tahun lalu, akhbar ini secara eksklusif melaporkan, FAM menubuhkan satu jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional yang diberi peranan untuk memastikan semua pasukan Liga M mempunyai sebuah organisasi kelab berlesen bagi menjalankan aktiviti secara berasingan daripada FA bermula musim 2021.

“Saya yakin kalau kita dapat menterjemahkan FA kepada FC ini, banyak kebaikan kepada pemain-pemain. Malah, saya percaya menerusi sesi penerangan dan taklimat diberikan kepada semua FA sebelum ini, kita mampu mencapai objektif dengan sasaran 2022 semua pasukan liga tempatan diswastakan,” kata Firdaus.

Ketika ini hanya tiga pasukan mencapai taraf FC iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City (PJ City) dan Sarawak United. Bagaimanapun, pasukan seperti Terengganu FC masih bergantung pada dana kerajaan negeri.

PERLESENAN KELAB-01
Perlesenan kelab

Wabak pandemik itu menyebabkan ekonomi negara telah terjejas sehingga memberi masalah kepada syarikat penaja untuk terus memberi penajaan kepada beberapa pasukan ditambah pula dengan ketiadaan pendapatan dari segi kutipan tiket.

Firdaus turut menceritakan tentang kesan sebuah pasukan yang masih bergantung pada dana Kerajaan Negeri dalam situasi wabak COVID-19 sehingga menyebabkan gaji pemain tertunggak.

“Apabila berlaku Covid-19 ini baru kita nampak, contohnya baru-baru ini isu pasukan Kedah yang sangkut gaji disebabkan penaja lambat bayar dan dana kerajaan negeri yang beri keutamaan dahulu kepada rakyat.

“Tapi bila ada pemegang saham atau pemilik sesebuah pasukan, tahulah mereka macam mana nak buat bagi menangani masalah ini. Pemilik kelab boleh datang daripada individu korporat yang memang mencintai bola dan ada duit.

“Ataupun, mungkin pemilik kelab ini tidak semestinya seorang atau dua, ia boleh sampai lapan orang yang bergerak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab. Di situ, ia boleh membantu antara satu sama lain, jadi inilah yang seharusnya FA fikirkan dan bantu segera mencari pemilik pasukan,” katanya kepada Arena Metro.

Baca artikel lain berkaitan dengan kesan penularan wabak COVID-19 sehingga menjejaskan sukan bola sepak.

Presiden FIFA Bayangkan Bola Sepak Dunia Bakal Lingkup Akibat COVID-19

Tiada Acara Bola Sepak Sukan Olimpik 2020, IOC Dan Jepun Setuju Untuk Tangguhkan Pada Tahun 2021

J.League Umum Tunda 94 Perlawanan Liga Dan Piala Liga Sehingga Pertengahan Mac 2020 Akibat COVID-19