Malaysian Football League (MFL) mengesahkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah menyerahkan nama Akhyar Rashid untuk didaftarkan sebagai pemain namun statusnya masih lagi dalam proses pengesahan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, mengikut peraturan pendaftaran, JDT memerlukan Surat Pelepasan daripada kelab asal Akhyar iaitu Kedah dalam tempoh 14 hari selepas JDT membuat permohonan perpindahan pemain muda itu pada 7 Januari lalu.

“JDT sudah menyerahkan nama Akhyar dan buat masa ini dia ada dalam senarai KIV (dalam perhatian) oleh kerana ada satu dokumen tidak mencukupi (Surat Pelepasan).

“Bagaimanapun kita kena tahu bahawa peraturan-peraturan yang sedia ada tidak dapat menghalang pemain itu daripada didaftarkan jika pemain itu sah boleh didaftarkan.

“Maknanya jika pemain itu telah ada keputusan yang membebaskan misalnya maka FAM boleh meluluskan pendaftaran beliau,” katanya.

Kesemua 24 pasukan Liga Super dan Liga Premier diwajibkan untuk mendaftarkan minimum 20 pemain hari ini sebelum pendaftaran penuh 30 pemain pada 20 Februari depan.

Seandainya selepas 14 hari tarikh permohonan pelepasan perpindahan Akhyar tidak diterima JDT, status pemain itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Status FAM.

Jika Jawatankuasa Status FAM membenarkan Akhyar didaftarkan sebagai pemain JDT, pemain itu akan diberikan Sijil Perpindahan Sementara selama tempoh 90 hari dan selepas tempoh itu Akhyar sah menjadi pemain Harimau Selatan secara tetap.

Jadi secara perkiraannya Akhyar masih berpeluang untuk beraksi dengan juara bertahan Liga Super JDT menentang juara Piala Malaysia Perak pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2 Februari ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Untuk rekod pada 5 Disember lalu, FAM menerusi Jawatankuasa Statusnya membenarkan Akhyar menebus kontrak beliau bernilai RM210,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Seterusnya, selepas Akhyar bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang menandatangani beliau perlu membayar RM75,000 kepada Kedah untuk pampasan latihan ataupun pembangunan.