Ketua jurulatih Selangor, B.Satianathan berasakan pencalonan dalam kategori Jurulatih Terbaik adalah hasil daripada berkat kesabaran membimbing skuad The Red Giants selepas permulaan yang agak mencabar pada awal musim.

Beliau memberikan penghargaan yang cukup tinggi kepada pihak pengurusan dan pemain yang sentiasa memberikan sokongan 100 peratus di belakangnya sehingga berjaya tercalon bersama-sama jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak dan jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

Bagi Satianathan, membawa sebuah pasukan pada musim sulung serta mempunyai deretan sejarah gemilang seperti Selangor bukanlah sesuatu yang mudah dan beliau mengharapkan pencalonan ini menjadi pemangkin semangat untuk mencipta lebih kejayaan pada musim depan.

Pencalonan

Sumber Gambar: MFL

“Kepada sesiapa yang mengundi saya dalam kalangan tiga terbaik, saya ucapkan terima kasih kerana kalau ramai masih ingat lagi permulaan Selangor agak perlahan.

“Saya berada di sini kerana pemain-pemain yang sentiasa memberikan komitmen 100 peratus dan kerjasama diberikan oleh pihak pengurusan terutamanya Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Semasa awal musim dahulu, keadaan agak sedikit kecoh dan ramai meminta saya berundur namun RMS tetap yakin dengan kemampuan saya dan saya dapat lupakan semua masalah itu serta beri tumpuan untuk pembinaan pasukan Selangor, ” katanya.

Pencalonan

Sumber Gambar: Stadium Astro

Satianathan buat masa ini menjadi individu paling banyak memenangi gelaran jurulatih terbaik iaitu tiga kali bermula dengan Kelantan pada 2010, diikuti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2012 dan kali terakhir bersama Felda United, tahun 2017.

Mengenai peluangnya memenangi kali keempat, Satianathan berasakan Aidil dan Dollah jauh lebih baik berbanding dirinya jika pencapaian bersama pasukan musim ini dijadikan ukuran.

“Saya seorang yang hidup dalam realiti dan bukan suka berangan-angan, saya memang tidak berapa yakin untuk menang kali ini kerana Aidil dan Dollah mempunyai peluang lebih tinggi.

“Aidil membawa Kedah juara Piala FA selain ke final Piala Malaysia dan kedudukan di tangga keempat Liga Super manakala Dollah membawa Pahang sebagai naib juara Liga Super selain ke separuh akhir bagi Piala FA dan Piala Malaysia, ” katanya.

Dalam pada itu, Dollah tidak meletakkan harapan tinggi untuk mengulangi kemenangan kali terakhir iaitu pada 2013 selain menjangkakan Aidil layak dinobat selaku pemenang jurulatih terbaik untuk ABK 2019.

Pencalonan

Sumber Gambar: Stadium Astro

“Sudah banyak kali saya sentiasa tercalon cuma kali terakhir saya menang ialah pada 2013, sudah agak lama juga iaitu dekat enam tahun. Namun peluang untuk saya menang agak tipis kerana saya berasakan Aidil Sharin orang yang lebih layak selepas membawa Kedah dua kali ke final dan berjaya memenangi Piala FA,” katanya.

Aidil pula sudah menganggap pencalonannya sebagai satu kejayaan besar memandangkan ini tahun pertama beliau berada dalam kancah Liga Malaysia.

“Saya rasa bersyukur selepas tercalon dalam “Top 3” bersama pesaing-pesaing yang cukup hebat dan saya tidak kisah mengenai menang atau tidak. Berada dalam senarai tercalon, sudah menjadi satu kepuasan kepada diri saya apatah lagi ini merupakan tahun pertama saya sebagai jurulatih di sini, ” katanya.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group