Ketua jurulatih skuad futsal Pulau Pinang, Hasrinizam Hashim mengakui penangguhan saingan Cuckoo Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2021 menyebabkan usaha untuk mendapatkan bintang ternama Indonesia, Bambang Bayu Saptaji masih menemui jalan buntu.

Berhasrat untuk memberikan saingan hebat buat pasukan-pasukan gergasi liga seperti Selangor MAC dan Pahang Rangers, Pulau Pinang jelas menginginkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu.

Ketika dihubungi wakil Vocket FC, Hasrinizam melihat ketidaktentuan nasib saingan MPFL itu menjadi penghalang buat Pulau Pinang untuk membawa Bayu Saptaji dengan kadar segera bagi menyertai pasukan.

Sebelum ini, saingan MPFL 2021 yang pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 21 Jun terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

Segala perbincangan bersama Bayu [Saptaji] memang berjalan dengan baik, cuma yang menjadi masalah sehingga menyebabkan kami tidak dapat memuktamadkan rundingan ini ialah berkenaan bilakah saingan liga akan bermula,” ujar Hasrinizam kepada Vocket FC.

“Kami tidak boleh terburu-buru untuk terus membawa beliau ke sini kerana masih belum ada jaminan berkenaan adakah liga akan diadakan selepas tamat tempoh PKP. Apa-apapun kami mengharapkan perkara positif sebaik sahaja mesyuarat pada 7 Jun nanti.”

“Bayu memberikan kerjasama yang cukup baik dan kami sentiasa berhubung dengannya untuk sebarang perkembangan lanjut. Semuanya nampak positif dan terdapat beberapa rundingan yang perlu dilakukan dengan lebih mendalam sebelum ianya dapat dimuktamadkan.”

“Khidmat beliau memang amat ditagih untuk digandingkan dengan pemain-pemain sedia ada dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah pasukan yang lebih baik,” tambah beliau lagi.

Kempen MPFL 2021 menyaksikan 20 pasukan lelaki bakal bersaing merebut kejuaraan edisi kedua selepas penganjuran saingan musim lalu terpaksa dibatalkan susulan serangan wabak melanda.

Baca artikel lain mengenai pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam MPFL 2021:

Empat Pemain Import Berkualiti Tinggi Bakal Meriahkan MPFL 2021

Wahyu Kocoy Yakin Skuad Futsal Sabah Mampu Beri Cabaran Hebat

Dari ‘Liga Haram’ Ke MPFL, Tot United Buru Kedudukan Empat Terbaik