Penangguhan saingan Liga Malaysia musim ini kerana penularan wabak Coronavirus (COVID-19) nyata memberi hikmah yang tersendiri bagi pemain tengah Felda United, Daniel Amier Norhisham.

Menurut Daniel, saingan yang terhenti sedikit-sebanyak membantu beliau untuk tidak terlepas banyak perlawanan ketika berada dalam proses pemulihan daripada pembedahan tulang metatarsal kaki.

Penangguhan
Sumber Gambar: Felda United

“Perkara positif yang diraih susulan penangguhan liga akibat wabak ini adalah saya tidak terlepas terlampau banyak perlawanan tetapi saya berharap telah pulih apabila tamat perkara ini,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Daniel menjalani pembedahan tulang metatarsal kaki pada Februari lalu sekaligus memaksa bekas pemain skuad B-23 tahun negara itu berehat selama dua bulan sebelum kembali beraksi.

Tambah Daniel, beliau berharap masalah metatarsal kaki tidak lagi menjadi masalah dan beliau sudah tidak sabar untuk mengisi jentera tengah pasukan Felda.

Penangguhan
Sumber Gambar: FAM

“Apa yang membuatkan saya lebih positif adalah melihat perkembangan permainan Felda. Apa yang dilakukan oleh jurulatih dan pemain. Saya memang tidak sabar untuk beraksi semula. Apabila memperoleh nikmat bermain, saya akan gunakan sebaik mungkin,” ujarnya.

Sejak tiga musim kebelakangan ini, Daniel Amier terlepas banyak perlawanan kerana masalah di metatarsal kaki beliau.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Felda United Kutip Sumbangan Bantu “Frontliners” Perangi Wabak COVID-19

Felda United Kutip Sumbangan Bantu “Frontliners” Perangi Wabak COVID-19

Khalid Ali: “Saya Lihat Pegawai PFAM Ini Lebih Pandai Daripada Kerajaan Malaysia”