Hari ini Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan selama 14 hari sehingga 14 April 2020 bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ia sekali gus turut mempengaruhi perjalanan baki saingan Liga Malaysia 2020 yang mana ia akan menyebabkan lanjutan perlawanan-perlawanan liga yang telah pun ditangguhkan berkuat kuasa bermula 16 Mac 2020.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, berkata pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya di mana FAM dan MFL telah bersetuju untuk terus menangguhkan kesemua aktiviti di bawah pengelolaan FAM, MFL serta Amateur Football League (AFL) sehingga tarikh baharu akan diumumkan kelak.

Katanya lagi, FAM bersama-sama MFL akan mencari jalan penyelesaian berhubung situasi ini dengan pemegang taruh yang terlibat terutamanya kelab, pemain dan pegawai.

“Meskipun keputusan lanjutan penangguhan ini adalah satu keputusan sukar tetapi keputusan ini harus dibuat demi kepentingan dan keharmonian rakyat di mana FAM bersama MFL sentiasa mengutamakan rakyat dalam usaha mencegah wabak COVID-19 daripada terus menular apatah lagi kita mencatat peningkatan jangkitan di kalangan masyarakat ketika ini.

“Selain saingan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, TM Piala Malaysia dan Challenge Cup, lanjutan penangguhan ini juga turut membabitkan kem pasukan kebangsaan, Malaysia Premier Futsal League (MPFL), Piala Presiden, Piala Belia, Liga M3 dan Liga M4,” katanya dalam satu kenyataan.

Penangguhan tersebut turut memberi kesan kepada kantung kewangan pasukan Liga Malaysia dimana mereka bergantung pada hasil kutipan tiket dan sumbangan daripada pihak penaja.

“Kita sedia maklum yang kelab-kelab ini mungkin berdepan masalah kewangan kerana ketiadaan perlawanan berlangsung ketika ini, sekali gus menjejaskan sumber kutipan tiket masing-masing dan pada masa yang sama perlu meneruskan juga pembayaran gaji kepada para pemain dan pegawai.

“Situasi seperti ini bukan kita minta dan tidak dapat dielakkan tetapi apabila ia berlaku, perbincangan dan persetujuan bersama adalah sesuatu yang perlu dicapai bagi memastikan kepentingan semua pihak dapat dijaga. Sama seperti FAM, kami di MFL sentiasa bersedia untuk dihubungi oleh mana-mana rakan kongsi liga untuk sebarang perbincangan,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan minggu lalu membayangkan tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia mungkin akan berlanjutan sehingga bulan Jun jika kes wabak COVID-19 meningkat ke tahap yang membimbangkan.

Baca artikel lain berkaitan dengan kesan penularan wabak COVID-19 sehingga menjejaskan sukan bola sepak.

Presiden FIFA Bayangkan Bola Sepak Dunia Bakal Lingkup Akibat COVID-19

Tiada Acara Bola Sepak Sukan Olimpik 2020, IOC Dan Jepun Setuju Untuk Tangguhkan Pada Tahun 2021

J.League Umum Tunda 94 Perlawanan Liga Dan Piala Liga Sehingga Pertengahan Mac 2020 Akibat COVID-19